Gaya HidupSantai

‘Best Giler’ Cuti-Cuti Di Penang!

Tempat Menarik Di Pulau Pinang - women online magazine

Jika buntu mahu ke mana untuk percutian kali ini, jom melawat tempat menarik di Pulau Pinang.

Pulau Pinang atau lebih popular dengan gelaran “Mutiara Timur” (Pearl of the orient), adalah ‘syurga’ bagi pencinta-pencinta makanan yang datang dari seluruh Malaysia.

Makanannya cukup istimewa kerana dipengaruhi oleh masakan pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina dan India. Selain itu, Pulau Pinang juga  cukup popular dengan ‘makanan penjaja’ yang dijual dan dimakan di sepanjang tepi jalan terutamanya mee dan makanan laut.

Terlalu banyak tempat menarik di Pulau Pinang yang wajar anda kunjungi. Bukan setakat kelazatan makanan-makanannya, malah keunikan budayanya juga perlu anda terokai. Tempat-tempat bersejarah, sosio-ekonomi, pantai, dan segala macam lagi yang boleh anda dapati di Pulau Pinang.

Jom, kita susuri kelebihan dan keunikan Pulau Pinang jika anda berkunjung di sini!

9 Tempat Menarik Di Pulau Pinang Yang Patut Anda Lawati

1. Jalan George Town

Alami sendiri keunikan seni bina elektrik dan tempat-tempat penjajahan pada masa lalu di Georgetown . Ia merupakan salah satu lokasi yang tersenarai dalam warisan UNESCO. Setiap bangunannya mempunyai sejarah dan setiap sudut jalan ada jalan cerita yang tersendiri.

2. Kepelbagaian Makanan

Pulau Pinang cukup terkenal sebagai syurga makanan. Pelbagai makanan yang boleh anda dapati di sini merangkumi masakan Cina, Melayu dan India. Jika bertandang ke sini, rasanya tidak sah jika anda tidak mencuba gerai-gerai yang terdapat di tepi-tepi jalan dan juga kedai kopi. Pastinya pengalaman menikmati makanan dan pemandangan yang cantik di Pulau Pinang ini meninggalkan sesuatu yang manis dalam hidup anda.

3. Bukit Bendera

Bukit Bendera mempunyai ketinggian 821 meter pada aras laut. Ia bakal menjamu mata anda dengan beberapa buah rumah besar kolonial (yang kini dijadikan sebagai restoran dan rumah-rumah tumpangan) sambil menikmati udara sejuk dan pemandangan panorama pulau tersebut. Hanya dengan 30 minit perjalanan menggunakan kereta kabel menjanjikan satu kenangan yang luar biasa kepada anda.

4. Tempat-tempat Ibadat

Gereja, kuil dan masjid, antara rumah-rumah ibadat yang boleh anda dapati di sini. Gereja St. George, Masjid Keling Kapitan, Kuil Kek Lok Si, Kuil Ular atau Kuil Sri Mahamariamman antara tempat ibadat yang sering dikunjungi masyarakat tempatan untuk beribadat dan mengamalkan kepercayaan mereka.

5. Taman Negara

Walaupun Taman Negara Pulau Pinang di Pantai Acheh mungkin terkecil di negara ini. Namun eco-tarikan seperti Pantai Keranchut dan tasik menyediakan tempat yang sesuai untuk berkelah, memancing, dan berenang. Malah jika anda ingin melihat keindahan pulau-pulau yang berdekatan, bolehlah menaiki bot yang tersedia di sana.

6. Jeti Puak Weld Quay

Lokasi ini merupakan sebuah penempatan lima puak utama Cina iaitu Lim, Chew, Tan, Lee dan Yeoh. Jeti usang ini adalah warisan yang berfungsi sebagai peringatan kedudukan pulau itu yang suatu ketika dulu merupakan sebuah pelabuhan maritim yang sangat penting serta perintis pendatang Cina yang datang untuk mencuba nasib di sini.

7. Pasar Lambak, Pasar Malam dan Pusat Membeli-belah

Dari pasar lambak Lorong Kulit dan Rope Walk ke Campbell Street, kawasan membeli-belah Little India Tradisional dan pusat membeli-belah moden seperti Plaza Gurney dan Queensbay serta banyak lagi syurga membeli-belah yang anda boleh kunjungi. Walaupun anda bukan termasuk dalam kategori mereka yang menyukai barang-barang antik, tetapi tidak ada salahnya jika anda menambahkan sedikit pengetahuan. Cuba luangkan sedikit masa untuk melihat dan menilai kualiti barang-barang tersebut, mana tahu ada yang berkenan di hati. Siapa tahu,kan…

8. Pantai Batu Ferringhi

Di sini menawarkan pakej yang menakjubkan buat anda yang ingin lari seketika daripada hiruk-pikuk kota. Dengan pantai berpasir membuat anda begitu selesa sekali menyelusuri gigi pantai sambil melihat panorama laut yang terbentang luas.

Pada waktu malam pula, banyak penjaja yang menjual barangan. Di samping itu, anda juga pasti tidak terlepas untuk menikmati hidangan makan malam dengan menu yang terbaik di sini.

Pasar malam Batu Ferringhi menawarkan pelbagai barangan yang menarik, termasuklah ukiran kayu, barang kemas perak, pinggan mangkuk dan segala macam lagi. Wow, boleh rambang mata anda nanti dibuatnya!

9.Taman Rama-Rama

Ladang Tropika yang terdapat di Teluk Bahang ini sangat terkenal. Bahkan ia pernah dikunjungi oleh bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair dan isteri sekitar tahun 2008. Di sini terdapat sebuah muzium yang tersedia sebagai pusat penyelidikan dan pembiakan untuk rama-rama. Ia juga merupakan salah satu usaha bagi mengekalkan eco-pelancongan di sini.

Ayuh, Kita Berpesta Saat Matahari Mulai Terbenam!

Pulau Pinang memang tidak pernah mati. Malah, waktu malam merupakan aktiviti paling rancak di sini. Rugi datang ke sini jika anda hanya terperuk dalam bilik. Chulia Street, Leith Street dan Penang Road antara kawasan ‘panas’ yang sering dikunjungi pelancong-pelancong luar.

Antara lokasi yang boleh dijadikan ‘port’ untuk anda melepak seperti di sekitar Upper Penang Road, lounge, bistro dan beberapa tempat makan yang semakin berkembang maju. Jika inginkan cabaran, luangkan masa anda dengan meneroka keindahan malam dengan hanya berjalan kaki.

Jika singgah di Tanjung City Marina, jangan lupa untuk menggunakan perkhidmatan beca untuk melihat kawasan sekeliling. Malah pemandangan menaiki feri, bot atau kapal layar menjanjikan satu pengalaman yang luar biasa terutama bagi anda yang baru pertama kali menaikinya.

Bertambah cantik, sekiranya anda memilih mana-mana tempat, tidak kiralah tepi pantai atau mana-mana restoran untuk melihat sendiri panorama matahari terbenam di sebalik jambatan Pulau Pinang. Memang terbaik!

Di Gurney Drive pula banyak hotel, restoran, kedai kopi dan juga kelab yang menawarkan pakej pelancongan terkenal dan nilainya sangat menarik hati. Bukan sekadar kenali budaya dan tempat makan di sini, malah dari hiburan tidak kurang hebatnya.

Untuk suasana yang lebih santai, pantai Batu Ferringhi adalah satu pertaruhan yang sangat baik. Anda bukan hanya boleh lari daripada kesibukan kota, malah sebarang pencemaran bunyi dapat dihindari.

Di sini anda hanya dihidangkan dengan bunyi yang sangat menenangkan daripada desiran angin dan ombak. Mata pula dijamu dengan keindahan cahaya bulan dan bintang. Jadi apa lagi yang anda mahu?

Inginkan maklumat lebih tentang keistimewaan  atau tempat menarik di Pulau Pinang, terokailah sendiri sambil menambah pengalaman. Bak kata pepatah “Jauh perjalanan, luas pengalaman”.

Artikel ditulis oleh: Noor Musa

Foto: Sekadar gambar hiasan

<<  Baca juga tempat-tempat menarik yang ada di Langkawi. Baca di sini.

 

Previous post

Resepi Daging Salai Versi Pedas

Next post

Kenapa Mesti Gerun Dengan Makanan Berlemak?

Team WOM.my

Team WOM.my

Women Online Magazine dibina sebagai satu platform bagi kaum Wanita untuk rujukan dalam menjalani kehidupan semasa dengan lebih berjaya dan teratur dari pelbagai aspek. >> Klik sini untuk baca post terkini daripada Team Wom.my

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *