Subaru Forester 2.0 XT Yang Serba Baru & Cukup Mantap
Nampaknya kemunculan Subaru Forester 2.0 XT yang serba baru dan cukup mantap ini bakal membuka mata ramai.
Tambahan pula generasi keempat Forester ini dilengkapi ciri-ciri mesra pengguna yang dipertingkatkan, keselesaan dan keseronokkan memandu melalui prestasi pemanduan dan kualiti perjalanan yang lebih baik.
Baru-baru ini WOM.my tidak terlepas peluang untuk memandu uji Subaru Forester 2.0 XT, sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-57.
Empat hari memandu uji Forester 2.0 XT mengelilingi seluruh pelusuk kota metropolitan, memberikan satu pengalaman baru. Ternyata, kereta mewah dan ‘gedabak’ ini juga sesuai dipandu oleh wanita bertubuh genit!
Paling ‘best’ ukurannya yang tinggi, kerusi pemandu dan penumpang hadapan automatik serta saiz cermin yang cukup luas. Betul-betul nampak jelas untuk memandang keluar.
Pulasan kuasa strengnya juga seimbang, walaupun memandu pada waktu malam, dalam keadaan hujan lebat ataupun berselekoh tajam. Kestabilan keempat-empat tayarnya sangat konsisten.
Ia juga dilengkapi dengan mod tambahan iaitu X-Mode. Dengan menekan butang, sistem X-Mod akan mengambil alih kawalan enjin, sistem transmisi AWD, sistem brek dan juga komponen lain secara elektronik semasa pengendalian jalan yang tidak rata, permukaan licin dan juga semasa mendaki bukit yang curam.
Selain itu, bagi wanita bertubuh genit, bonet yang boleh dibuka dan ditutup secara automatik memberikan satu kelebihan. Tambahan pula,saiz kabin serta ruang kargonya cukup luas. Tidak ada masalah jika anda dan keluarga mahu berjalan jauh! Banyak kelengkapan atau barang yang boleh anda ‘sumbat’.
Kelengkapan lain seperti bumbung suria, sistem kemasukan tanpa kunci ,lampu utama HID dengan larasan automatik, sistem audio yang baik, kamera undur serta dilengkapkan dengan sistem beg udara pada penumpang depan, buku lali pemandu, sisi dan bidai sisi membuatkan Forester 2.0 XT cukup menawan di hati.
Dengan harga hampir mencecah RM200 ribu, nadi kuasa turbo serta penampilan yang nampak mantap, Subaru Forester 2.0XT boleh dijadikan pilihan menarik. Ternyata Subaru Forester 2.0XT punya kelas tersendiri!
Info Ekstra!
Antara ciri-ciri Forester serba baru adalah :
• Prestasi memandu dan kualiti perjalanan yang unggul dengan enjin Boxer generasi baru digabungkan bersama transmisi Lineartronic
• X-MODE, sistem kawalan baru Drive All-Wheel
• Kecekapan bahan api yang cemerlang dan prestasi keselamatan
• Keseluruhan kabin yang direka semula dengan ruang kargo yang luas dan pintu belakang kuasa yang hanya dikendalikan oleh butang penekan
• Enjin Turbo baharu dengan Suntikan Bahan Api Terus
• SI-DRIVE
Enjin Subaru Forester 2.0XT
Memastikan prestasi kenderaan lebih dinamik dan seronok untuk dipandu dengan julat tork pertengahan hingga rendah ditingkatkan dan pecutan yang lebih lancar. Teknologi mesra alam juga telah direka untuk mengurangkan geseran dan meningkatkan kecekapan pembakaran, mencapai kecekapan bahan api yang unggul.
Teknologi Drive All-Wheel Subaru (AWD) pula memberikan kestabilan dan membolehkan tindak balas pantas kepada keadaan jalan raya yang mencabar. Sistem kawalan X-mode yang baru dibangunkan untuk meningkatkan keupayaan AWD supaya memudahkan pemandu mengemudi Forester di laluan yang sukar, permukaan licin atau bukit curam dengan hanya satu suis.
Forester 2.0XT baru juga datang dengan SI-DRIVE, ciri-ciri yang ditambah untuk meningkatkan pemanduan dan menyediakan pilihan mode “Pintar”, “Sport” dan “S # (Sports sharp)” supaya pemandu dengan mudah bertukar antara pelbagai peringkat responsif dan kecekapan bahan api.
Keunggulan prestasi keselamatan telah dipertingkatkan pada model Forester serba baru, khususnya badan yang diperbuat daripada keluli tegangan tinggi untuk mengurangkan berat kenderaan selain mengekalkan ketegaran yang tinggi.
No Comment