Gaya HidupSantai

Bukit Tinggi Pahang – Suasananya Terasa Seperti Berada Di Negara Perancis

bukit tinggi pahang - women online magazine

Jika ke Bukti Tinggi Pahang,sudah pasti anda teruju dengan suasananya yang terasa seperti berada di Negara Perancis.

Lagipun tidak semua orang mampu melancong ke Perancis. Oleh itu, jika anda mahukan sedikit kelainan dan ingin merasakan suasana seakan-akan berada di Perancis, Bukit Tinggi Pahang adalah destinasi yang paling tepat untuk anda kunjungi.

Lokasi yang cantik, keindahan alam semulajadi,suhu yang dingin dan tempat menarik yang terdapat di sana cukup untuk membuatkan minda anda berasa tenang.Bukit Tinggi ini terletak di negeri Pahang dan tidak jauh dari pusat peranginan yang terkenal iaitu Genting Highland. Sememangnya Bukit Tinggi ini sinonim dengan reka bentuk dan senibinanya yang mengambil konsep dan rekabentuk bangunan bertemakan suasana di Perancis.

Menariknya Bukit Tinggi ini merupakan kawasan bukit yang masih kaya dengan hutan hujan semulajadi yang menghijau. Bagi anda yang sukakan kembara di hutan,di sini terdapat beberapa laluan meredah hutan yang cukup menarik untuk menikmati keindahan dan keunikan hutan hujan dengan lebih dekat lagi. Malah tempat ini selalu menjadi pilihan jurugambar terutamanya ‘nature photographer’ yang ingin merakam potret alam semulajadi.

  • Bagaimana untuk sampai ke sana?

Jika anda datang dari ibu kota Kuala Lumpur dan melalui Lebuh Raya Karak, pasti anda dapat melihat papan iklan yang menunjukkan arah ke Bukit Tinggi, Pahang. Perjalanan ke sana hanya mengambil masa kira-kira sejam untuk sampai ke sana. Bagi mereka yang pertama kali menjejakkan kaki di sini, anda tidak perlu risau kerana papan tanda untuk ke Bukit Tinggi akan memudahkan perjalanan anda.

  • Bayaran yang dikenakan?

Di pintu utama Bukit Tinggi ini terdapat sebuah pondok pengawal tol. Di situ, setiap kenderaan perlu berhenti untuk membayar tiket masuk iaitu RM12 seorang untuk dewasa, manakala kanak-kanak RM8 seorang.Sekiranya anda bertukar fikiran dan mahu menginap di hotel mereka,anda boleh mengembalikan semula tiket tersebut.

  • Tarikan Bukit Tinggi Pahang?
  • “Colmar Tropicale”

Tarikan utama Pusat Peranginan Bukit Tinggi Resort pastinya “Colmar Tropicale”. Senibina unik yang berkonsepkan senibina Perancis menggamit ramai pengunjung untuk menikmati suasana seperti di Perancis. Sebaik sahaja anda melangkah masuk ke ‘dunia’ tersebut, anda akan merasakan seolah-olah berada di Perancis.Keindahan dan keaslian senibina dan susun atur hiasan memainkan peranan yang cukup penting bagi menghidupkan suasana agar tampak seperti benar-benar berada di Perancis. Hanya di Bukit Tinggi Pahang sahaja anda dapat merasai suasana seperti ini di Malaysia.

Suasananya yang romantis juga sering menjadi pilihan pengantin baru berbulan madu.Suasana romantis ini akan bertambah cantik pada waktu malam apabila setiap bangunan disinari kilauan cahaya lampu yang dipasang. Ternyata pengunjung di sini tidak akan melepaskan peluang untuk bergambar kenangan berlatar belakang reka bentuk bangunan Perancis ini. Seolah-olah ia merupakan aktiviti wajib sekiranya tiba di sini.

Selain itu,terdapat sebuah tasik yang sangat cantik dan di dalamnya terdapat beberapa ekor angsa. Anda akan teruja melihat angsa-angsa ini berenang dan terapung di permukaan air. Apatah lagi sekiranya angsa tersebut berenang berdekatan dengan anda. Di sini juga terdapat pelbagai tarikan menarik seperti hotel, restoran, kedai menjual cenderahati,pusat permainan video dan menara tinjau yang menyajikan pemandangan yang memukau. Ini kerana kawasan sekitar bukit ini amat indah dengan dikelilingi hutan belantara yang menghijau. Sesekali kabus nipis akan bertukar menjadi tebal lalu menyapa anda yang akan mula kesejukan.

  • “Japanese Village”

Terletak 3,500 kaki di atas paras laut, “Japanese Village” ini adalah yang pertama seumpamanya di luar Jepun. Taman ini telah direka oleh arkitek terkenal Jepun, Kaio Ariizumi dan dibina oleh satu pasukan yang mempunyai 22 tukang mahir dari Jepun. Lokasi Bukit Tinggi ini yang terletak di puncak bukit yang dikelilingi oleh hutan yang masih tebal membuatkan suhu sedikit dingin dan sungguh menyegarkan.

Jika anda berkunjung ke sini, anda bolehlah melawat ke Japanese Tea House (Rumah Teh Jepun), Botanical Garden (Taman Botani), Tatami Spa, Ume Tatami Suite dan juga Ryo Zan Tei Restaurant.Anda juga boleh memilih untuk mengambil bahagian dalam Majlis Teh (4 sesi setiap hari) di mana anda dapat mempelajari dengan lebih lanjut  mengenai budaya Jepun atau menyewa kimono untuk satu atau dua gambar. Bayaran yang dikenakan jika anda mahu menyewa kimono tersebut adalah sebanyak RM20 sepasang.

Di sini juga terdapat sebuah “Japanese Gift Shop” di mana anda boleh membeli souvenir seperti fridge magnet, key-chain dan sebagainya. Malah, minuman ringan turut disediakan di sini, tetapi harganya sedikit mahal daripada biasa.Tarikan lain yang ada di Japanese Village ini adalah Taman Herba yang menempatkan pelbagai tumbuhan herba di dalam satu taman. Menariknya mengenai taman ini, terdapat pelbagai spesies rama-rama yang bebas berterbangan setiap kali anda menuruni anak-anak tangga di taman berkenaan.Taman yang berkonsepkan taman Jepun di tengah-tengah hutan khatulistiwa ini ternyata sungguh mempersonakan.

  • Rabbit Park

Rabbit Park adalah sebuah taman yang yang menempatkan arnab, rusa, dan juga keldai. Di sini terdapat sebuah Cabana Cafe, tempat menembak (target shooting) dan juga denai kuda (Horse Trails). Harga tiket masuk untuk Rabbit Park ini adalah RM3 seorang. Tarikan sebenarnya Rabbit Park ini adalah anda dibenarkan bermain dengan arnab dan rusa dengan bebas. Malah, anda juga boleh memberi makan dengan makanan yang dijual pada harga RM3 di kaunter tiket.

Selain itu, di sini terdapat juga sebuah padang golf bagi mereka yang ingin bermain golf. Untuk memudahkan anda yang tidak mahu memandu kereta untuk bergerak ke tempat-tempat lain yang berdekatan, perkhidmatan tour bus atau tram juga disediakan. Ternyata menaiki tram lebih santai, sekaligus membolehkan anda menikmati pemandangan sekeliling yang indah.

Jika anda inginkan tempat berehat hujung minggu yang menarik, bolehlah memilih Bukit Tinggi Pahang sebagai percutian bajet anda.Ternyata, percutian anda berbaloi di Bukit Tinggi kerana jarak perjalanan yang tidak jauh dari ibu kota dan harga tiket masuk yang berpatutan. Jika mahu, sesiapa sahaja mampu menghabiskan hujung minggu di Bukit Tinggi Pahang. Jadi, jangan ragu-ragu untuk bercuti ke sana.

Kredit foto: whooz

<< Ketahui tempat-tempat menarik di Melaka yang boleh anda lawati di sini.

 

Previous post

Ayuh, Sertai Bengkel Jom Cantik & Sihat Bersama Women Online Magazine

Next post

Kismis Bukan Sekadar Tingkatkan Daya Pemikiran Otak, Bahkan Buat Kulit Jadi Cantik

Team WOM.my

Team WOM.my

Women Online Magazine dibina sebagai satu platform bagi kaum Wanita untuk rujukan dalam menjalani kehidupan semasa dengan lebih berjaya dan teratur dari pelbagai aspek. >> Klik sini untuk baca post terkini daripada Team Wom.my

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *