Jom… Makan Angin Ke 10 Tempat Menarik Di KL
Kredit Foto: klccconventioncentre
Makan Angin.Sebut saja Kuala Lumpur, sudah terbayang di fikiran bangunan-bangunan pencakar langit dan kesibukan jalan raya yang tak kira siang dan malam.
Walaupun Kuala Lumpur dikenali sebagai syurga membeli-belah, namun ia turut mempunyai banyak tempat menarik yang boleh anda lawati. Sesekali tukarkan aktiviti hujung minggu anda itu. Ajaklah ahli keluarga anda untuk bersama-sama meneroka pengalaman makan angin di sekitar bandaraya besar Kuala Lumpur.
1. Menara Kuala Lumpur
Menara Kuala Lumpur yang terletak di atas Bukit Nanas ini adalah merupakan menara telekomunikasi keenam tertinggi di dunia dan yang tertinggi di Asia Tenggara dengan ketinggian 421 meter sementelah ia menjadi satu mercu tanda kebanggaan Negara.
Walaupun Menara Kuala Lumpur ni terletak di tengah kesibukan ibu kota, ia menjanjikan anda dengan pemandangan yang mempesona dan persekitaran yang menyenangkan kerana Menara Kuala Lumpur ini dibina di dalam hutan simpan Bukit Nanas.
Tarikan menara ini adalah anda boleh berjalan merentasi hutan Bukit Nanas sambil melihat tumbuh-tumbuhan dan juga pelbagai serangga juga melihat pemandangan Kuala Lumpur dari atas menara. Aktiviti ini sememangnya menjadi tarikan pelancong. Anda juga boleh menjamu selera di restoran berputar Menara Kuala Lumpur ini.
2. Taman Burung
Pastinya ramai yang tidak tahu Kuala Lumpur mempunyai sebuah Taman Burung yang terletak di Taman Botani Kuala Lumpur. Terdapat lebih daripada 3 ribu burung dan 200 daripadanya adalah daripada spesies burung tempatan. Keluasan Taman Burung ini iaitu kira-kira 8.5 hektar menjadikannya sebuah taman burung tertutup terbesar di dunia sejak dibuka pada tahun 1991.
Taman Burung ini terbahagi kepada empat zon. Zon satu dan dua adalah bahagian burung-burung ini bebas berterbangan. Maka secara tidak langsung pengunjung dapat melihat secara jelas burung-burung ini. Zon tiga adalah Taman Enggang dan akhir sekali zon empat iaitu burung-burung tertentu ditempatkan di dalam sangkar.
Di sini juga terdapat pelbagai aktiviti seperti pertunjukan burung,acara memberi makan burung dan sebagainya mengikut jadual.Taman Burung ini yang dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi sehingga 6 petang sememangnya merupakan tempat yang sesuai untuk anda sekeluarga makan angin. Bayaran masuk bagi dewasa RM25, manakala kanak-kanak adalah RM12.
3. Aquaria KLCC
Anda mahu melihat kehidupan laut di tengah bandaraya pesat? Apa kata anda makan angin di Aquaria KLCC ini. Dengan kedalaman 90 meter, pusat akuarium canggih ini memaparkan pelbagai spesis hidupan di dasar lautan di seluruh dunia. Di sini, anda berpeluang untuk melihat hidupan laut secara jelas dan mengenali spesis ikan dengan lebih dekat.
Selain tu, anda juga berpeluang untuk melihat aksi ikan jerung dari benua Afrika Selatan ketika melalui terowong akuarium gergasi di laluan bergerak dan spesis hidupan lautan lain termasuk ikan pari. Sudut gedung ilmu elektronik juga disediakan untuk menerangkan maklumat setiap spesis hidupan.
Aquaria KLCC ini dibuka pada hari Isnin hingga Jumaat, dari jam 11 pagi hingga 10 malam. Manakala pada hari Sabtu, Ahad, cuti umum dan cuti sekolah pula,Aquaria KLCC beroperasi dari jam 10.30 pagi hingga 8 malam.Bayaran untuk dewasa RM35 (mykad)/ RM45 (pelancong asing), kanak-kanak RM25/ RM35 dan warga emas RM25.
4. Muzium Kesenian Islam
Muzium Kesenian Islam Kuala Lumpur yang terletak di Taman Tasik Perdana dan bersebelahan dengan Masjid Negara ini adalah muzium seni Islam yang terbesar di Asia Tenggara. Muzium ini mempunyai lebih daripada 7 ribu artifak dan ia juga mempunyai sebuah perpustakaan yang memuatkan buku berkenaan kesenian Islam dari seluruh dunia. Antara artifak yang dipamerkan termasuklah model masjid di seluruh dunia seperti Masjidil Haram di Makkah dan kitab suci al-quran sebesar saiz ibu jari.
Muzium ini dibuka pada Selasa hingga Ahad termasuk cuti umum, bermula jam 10 pagi hingga 6 petang. Setiap hari Isnin muzium ini ditutup. Bayaran masuk ke muzium ini adalah RM12 untuk dewasa, pelajar dan warga emas 55 tahun ke atas RM6, manakala untuk kanak-kanak berusia 6 tahun ke bawah adalah percuma. Murah bukan? Ajaklah rakan-rakan atau ahli keluarga anda makan angin di sini.
5. Taman Rama-Rama
Taman rama-rama ini adalah yang terbesar di dunia dengan keluasan lebih 80,000 kaki persegi dihuni lebih 5000 rama-rama, tumbuhan eksotik, paku-pakis dan tumbuhan yang menjadi rumah kepada spesis serangga yang cantik ini.
Tarikan di taman ini adalah pengunjung melihat beluncas pelbagai bentuk,saiz dan warna. Para pengunjung juga berpeluang melihat bagaimana rama-rama melakukan proses pembiakan dan rama-rama betina bertelur.
6. Menara Berkembar Petronas
Menara Berkembar Petronas ini adalah pusat tumpuan sehenti penduduk kota dan juga pelancong dengan adanya pelbagai tarikan dengan ketinggian 88 tingkat. Tetapi paling menarik di sini adalah Suria KLCC iaitu pusat membeli-belah yang mempunyai lebih kurang 270 buah kedai.
Di luar menara ini terdapat Taman KLCC yang dilengkapi dengan kawasan pemainan kanak-kanak, air pancut, kolam randuk dan trek yang pastinya membuatkan anak-anak anda seronok main kat situ. Terdapat juga pusat pameran dan pembelajaran iaitu Petrosains dan Dewan Filharmonik Petronas dengan pelbagai persembahan klasik dan jazz bertaraf dunia.
Jika anda sukakan ketinggian,anda bolehlah melawat Jambatan SkyBridge yang memberikan anda peluang melihat pemandangan Kuala Lumpur. Tetapi tiket yang dikeluarkan setiap hari adalah terhad dan anda perlu berbaris untuk mendapatkannya.
7. Planetarium Negara
Planetarium Negara ini dibuka secara rasmi pada 7 Februari 1994 dengan bertujuan untuk mendidik masyarakat mengenai angkasa dan sistem solar kita,selain mempamerkan kelengkapan serta peralatan astronomi. Reka bentuk bangunan Planetarium dengan seni bina Islam dan astronomi membuatkan ia menyerupai masjid tetapi digabungkan dengan wajah futuristik.
Selain meneroka angkasa lepas di Galeri Pameran Penerokaan Angkasa, pengunjung boleh melihat teleskop di Balai Cerap Planetarium Negara, beriadah di kawasan rekreasi bertemakan angkasa dan taman replika Balai Cerap Purba.
Di sini anda juga berpeluang melihat sendiri pelbagai pertunjukan dan tayangan antaranya Fly to the Moon, Solar Storm, Dawn of the Space Age dan Passport to the Universe. Planetarium Negara juga merupakan lokasi yang terkenal untuk melihat kejadian gerhana matahari atau bulan, melihat bujur bintang dan banyak lagi. Jom makan angin ke Planetarium Negara yang beroperasi pada setiap hari dari Selasa hingga Ahad termasuk pada cuti umum bermula dari jam 9.30 pagi hingga 4.30 petang.
8. KL City Gallery
KL City Gallery ini terletak bersebelahan dengan Padang Dataran Merdeka. Menariknya jika anda berkunjung ke sini,KL City Gallery akan membawa anda kembali ke masa dahulu, kini dan masa depan Bandar raya Kuala Lumpur.
Istimewanya di sini, pengunjung berpeluang untuk melihat bagaimana cenderamata yang diperbuat daripada kayu dihasilkan. Bengkel untuk menghasilkan cenderamata juga turut disediakan kepada pengunjung. Jangan lepaskan peluang untuk makan angin di sini kerana masuk adalah percuma. Ia dibuka setiap hari dari jam 8.30 pagi hingga 6.30 petang.
9. Taman Botani Kuala Lumpur
Taman Botani atau lebih dikenali sebagai Taman Tasik Perdana (Lake Garden) adalah antara taman dalam bandar yang cukup popular di Malaysia. Taman ini dikelilingi pelbagai tempat menarik seperti Memorial Tun Razak, Planetarium Negara, Muzium Negara, Taman Rama-Rama, Tugu Negara dan Carcosa Seri Negara. Taman berusia 122 tahun itu telah melalui beberapa proses penambahbaikan dan kini ia dipenuhi dengan pelbagai spesis bunga-bungaan dan juga orkid.
10. Istana Negara, Jalan Duta
Istana Negara, Jalan Duta yang mula beroperasi secara rasminya pada 11 November 2011 adalah satu lagi tarikan pelancongan popular, tidak kira pelancong dari dalam ataupun luar negara. Istana Negara yang baru ini dibina untuk menggantikan Istana Negara yang sudah digunakan sejak 1957. Binaannya merangkumi tiga komponen utama iaitu Komponen Rasmi, Komponen Diraja dan Komponen Pentadbiran.
Sesekali apa salahnya anda membawa ahli keluarga anda makan angin di tempat sebegini untuk mendedahkan pada anak-anak anda tentang Sistem Beraja di negara kita.
Nota Kaki: SHARE artikel ini dengan kawan-kawan anda yang gemar bercuti.
<< Selami keindahan yang terdapat di Pulau Pangkor di sini.
<< Pakej Percutian Pulau Perhentian
No Comment