4 Tanggungjawab Anak Perempuan Kepada Ibu Bapa
Jom ketahui 4 tanggungjawab anak perempuan kepada ibu bapa anda disini.
Anak perempuan adalah anugerah yang tidak ternilai kepada pasangan suami isteri. Sebagai ibu bapa tentunya mereka sedaya upaya menjaga dan mencurahkan kasih sayang yang tidak pernah berbelah bahagi kepada kita. Daripada saat kita dilahirkan hinggalah kita meningkat dewasa. Mereka tetap mengambil berat tentang kita.
Sebagai anak perempuan, anda kini sudah berjaya. Bukan sekadar sudah tamat melanjutkan pelajaran, bahkan mempunyai kerjaya tetap untuk menyara hidup sendiri. Anda juga mungkin sudah melayari bahtera perkahwinan dengan insan yang tercinta serta mempunyai anak-anak sebagai tanda ikatan tanda kasih sayang kalian.
Bahagia manapun anda dengan kehidupan anda, ibu bapa haruslah menjadi keutamaan dalam hidup anda. Walaupun anda sudah berkahwin, tanggungjawab anda kepada ibu bapa adalah masih sama seperti sebelum anda berkahwin.
Antara tanggungjawab anak perempuan terhadap ibu bapa ialah:
1. Menjaga Maruah Diri dan Keluarga
Nilai seseorang itu adalah terletak kepada maruah dirinya. Begitulah juga dengan ibu bapa anda yang mengharapkan kepada anda untuk menjaga air muka mereka.
Elakkan daripada melakukan perkara yang yang boleh menyebabkan maruah anda tercalar seperti terlibat dengan seks bebas, penyalahgunaan dadah, terlibat dengan parti liar dan sebagainya.
Janganlah membiarkan diri anda menjadi bualan hangat orang lain yang berbicara tentang keburukan diri anda kerana secara tidak langsung, ia akan menconteng arang kepada ibu bapa yang mungkin sebelum ini mempunyai reputasi baik. Namun, mereka terpaksa menanggung cemuhan masyarakat hanya kerana perbuatan buruk anda.
2. Sentiasa Mengambil Berat Perihal Ibu Bapa
Tidak kira anda duduk sebumbung atau pun berjauhan beribu batu dengan ibu bapa anda, masih bujang atau yang sudah mendirikan rumah tangga, tanggungjawab anda untuk mengambil berat terhadap ibu bapa anda masih lagi ‘berjalan’ seperti dahulu.
Bagi yang tinggal sebumbung dengan ibu bapa, jika mempunyai masa lapang, ringankanlah tulang anda untuk membantu ibu memasak di dapur ketika dia menyediakan hidangan buat seisi keluarga. Anda juga boleh menolong membuat kerja-kerja di rumah seperti membasuh pakaian, mengemas rumah dan sebagainya.
Di samping itu anda berpeluang memantau kesihatan mereka. Anda boleh membawa mereka memeriksa tahap kesihatan mereka di pusat-pusat kesihatan serta memilih menu yang sihat buat ibu bapa.
Pada yang berjauhan dengan ibu bapa, hubungilah kedua ibu bapa anda untuk bertanyakan khabar mereka. Sudah tentu mereka akan gembira mendengar suara puteri tersayang. Sekali sekala pulanglah ke kampung halaman untuk menjenguk mereka. Bagi yang sudah berkahwin, ajaklah suami dan anak-andak anda bersama menziarahi mereka.
3. Mengirimkan Wang kepada Ibu Bapa
Sebagai anak, hulurkan sedikit wang untuk mengurangkan serba sedikit beban hidup ibu bapa anda. Jika anda mempunyai kerjaya tetap, gunakan sedikit duit gaji tersebut untuk diberikan kepada mereka. Pada yang sudah berkahwin dan tidak bekerja, bahagikan sedikit duit yang diberikan oleh suami anda untuk dijadikan sebagai pemberian wang saku anda kepada mereka.
Jika suami anda tidak mampu memberikan jumlah wang banyak kepada anda, disyorkan anda membuat kerja kecil-kecil seperti berniaga kuih secara kecil-kecilan untuk dijadikan dana bagi membantu ibu bapa anda.
Apabila anda mengirimkan duit kepada mereka, sekurang-kurangnya ia boleh meringankan bebannya yang mungkin terpaksa menyara hidup mereka untuk membesarkan adik-adik anda yang masih belajar.
Duit kiriman anda itu boleh dijadikan sebagai duit bagi perubatan dan kecemasan mereka apabila menimpa perkara yang tidak diduga berlaku.
4. Mendoakan Kesehjateraan Ibu Bapa
Selain daripada menunaikan tanggungjawab secara rohani dan jasmani, anda juga hendaklah mendoakan kesejahteraan ibu bapa anda di dunia dan akhirat.
Sebagai anak perempuan, sebaiknya jalankanlah tanggungjawab kepada ibu bapa. Paling penting, sentiasa doakan agar tetap sihat dan dikurniakan rezeki yang halal di muka bumi dan jika mereka sudah meninggal dunia, doakanlah mereka tergolong di dalam golongan orang yang beriman.
# Selain daripada amalan beriman kepada Allah S.W.T dan memberi ilmu kepada orang lain, doa daripada anak-anak juga penting untuk ibu bapa mendapat pahala yang berterusan.s
Sememangnya bukan mudah, sebagai anak perempuan untuk menjalankan tanggungjawab kepada ibu bapa. Lebih lagi, jika anda sudah mempunyai suami dan anak-anak. Perlu diingat, apa sahaja yang ingin anda lakukan pastikan anda telah meminta izin suami terlebih dahulu. Toleransi antara dua pihak sangat penting demi menjaga keharmonian rumahtangga. Insya-Allah, pasti hubungan silaturahim antara anda, sumai dan juga ibubapa anda akan menjadi lebih akrab serta penuh kasih sayang.
Kredit foto kepada smartparentingadvice
<< Jom ketahui cara bagaimana anda boleh membalas jasa ibu bapa anda di sini.
1 Comment
Saya adalah anak perempuan sulung yang membesar tanpa seorang ayah sejak berumur 21 tahun lagi. Kini, usia saya 27 tahun dan ingin berumah tangga dalam masa sebulan. Di rumah saya sekarang adalah ibu yang tidak berkerja kerana masalah kesihatan, adik perempuan yang belum dapat kerja yang stable, dan juga adik lelaki yang baru mencecah usia 14 tahun. Sejak arwah ayah pergi ke rahmatullah, sayalah yang memikul segala tanggungjawab sebagai seorang ayah. Membayar bill api air, memberi nafkah kepada ibu dan juga adik-adik. Memberi sesuap nasi kepada ibu dan adik-adik. Dilemma saya adalah, dimanakah harus saya pilih untuk tempat tinggal? Bersama ibu dan adik-adik saya ataupun luar dari rumah saya untuk mengikut bakal suami saya. Berat hati saya ingin meninggalkan rumah dengan keadaan rumah yang belum stable. Saya bimbang rumah ibu saya akan terkuncar kancir jika saya tiada dirumah. Tetapi, menurut pendapat teman rapat, setiap istri harus keluar dari rumah keluarga untuk mengikut si suami.
Persoalan nya, pada situasi saya kini, siapa yang harus saya utamakan? Ibu dan adik-adik atau bakal suami kelak?
Terima Kasih.