Jangan Ambil Mudah Dengan Penyakit Buasir. Bahayanya Tetap Ada
Buasir merupakan suatu penyakit yang terjadi pada dubur/anus yang disertai dengan pembengkakan dan pendarahan.
Masalah buasir pada golongan dewasa adalah perkara biasa, namun tidak ramai yang sanggup bercerita tentang masalah pembuangan air besar dialami disebabkan ia berkaitan dengan bahagian sulit. Masalah ini sudah berlaku sejak dulu lagi, tetapi kini ia makin kerap diperkatakan disebabkan perubahan gaya hidup.
Buasir atau hemoroid adalah penyakit yang terjadi pada bahagian dubur.Penyakit ini dapat dikesan apabila saluran dubur membengkak. Ia boleh berlaku sama ada di dalam dubur atau di kawasan luar. Biasanya pesakit akan berasa sakit kesan tekanan otot dubur ke atas bengkak tersebut sehingga menyebabkan proses pembuangan air besar menjadi amat perit. Bengkak itu terjadi disebabkan oleh pengembangan saluran darah pada sel-sel yang melapisi saluran dubur. Selain bengkak pada saluran dubur, pendarahan semasa membuang air besar juga terjadi disebabkan oleh luka apabila najis keras bergesel dengan buasir.
Jenis – Jenis Buasir
- Buasir Dalaman
Buasir dalaman adalah buasir yang bermula dari dalam saluran dubur. Lazimnya, buasir ini tidak terasa sakit dan gatal kerana ia terletak jauh ke dalam rektum. Buasir ini tidak merbahaya tetapi meneran dan gangguan dari laluan najis semasa membuang air besar boleh mencederakan permukaan buasir yang tertekan dan kadangkala ia boleh pecah sekaligus berdarah.
Jika anda terlihat titisan darah yang berwarna merah cerah pada kertas tisu atau di mangkuk tandas, anda perlu mendapat bantuan perubatan, kerana darah tersebut mungkin datang daripada sumber lain seperti ketumbuhan atau kanser kolorektum. Buasir dalaman ini juga boleh menyebabkan pesakit berasa seperti ada ‘ketumbuhan’ (prolapse) terkeluar dilubang anus mereka terutama ketika membuang air besar.
- Buasir Luaran
Buasir luaran pula berasal dari kawasan sekeliling lubang dubur.Buasir jenis inilah yang selalu kita dengar mengakibatkan gejala-gejala seperti sakit, pedih dan gatal di dubur. Gejala-gejala beginilah yang menyebabkan buasir jenis ini memerlukan perhatian dan rawatan perubatan.
Apabila salur darah vena rektum teregang atau memberi dan terjadinya buasir adalah sukar untuk ia dibuang atau ditanggalkan sepenuhnya. Buasir ini akan berulang kembali walaupun dengan tekanan atau bebanan yang lebih ringan berbanding dengan yang dahulunya
Empat Peringkat Buasir
Tahap 1: Berlaku pendarahan dan bengkak menonjol keluar.
Tahap 2: Disebabkan oleh pergerakan usus, bengkak akan keluar tetapi secara spontan akan kembali ke dalam (saluran dubur ).
Tahap 3: Keadaan yang sama seperti tahap dua, tetapi bengkak tersebut akan hanya berada di dalam setelah ditolak masuk secara fizikal.
Tahap 4: Darah pekat keluar, menyebabkan rasa sakit dan susah untuk meneran. Buasir akan berada di luar kawasan dubur.
Simptom Penyakit Buasir
- Rasa sakit yang berdenyut-denyut.
- Sukar untuk membuang air besar dan rasa tidak selesa pada bahagian dubur apabila berdiri lama atau bertinggung.
- Pendarahan berlaku selepas dan sebelum membuang air besar.
- Darah menitis dan tersembur keluar dari saluran dubur.
- Dalam tempoh pendarahan ini, pesakit itu boleh mengalami kekurangan darah.
- Ada yang tidak mengalami pendarahan, tetapi dikenali sebagai pembengkakan dubur. Lazimnya bengkak ini keluar selepas membuang najis. Kadangkala untuk tempoh sementara, kurang sakit tetapi ada rasa gatal-gatal.
Punca Penyakit Buasir
a. Regangan yang melampau ketika sembelit.
b. Cirit-birit yang kronik.
c. Kurangnya pengambilan makanan berserat seperti sayur dan buah-buahan dalam diet harian.
d. Mengandung atau bersalin.
Punca lain penyakit buasir adalah:
- Tekanan (pressure)
Orang yang selalunya terpaksa duduk atau berdiri dengan lama lebih berkemungkinan untuk mendapat penyakit ini. Berdiri akan menyebabkan berlakunya peningkatan dalam tekanan, menyebabkan saluran venus membengkak atau terkeluar.
Najis yang besar dan kering memerlukan teranan yang kuat untuk membuangnya. Ini menyebabkan berlakunya peningkatan tekanan pada salurang venus di bahagian dubur, menyebabkannya membengkak dan menjadi buasir. Sekiranya anda mempunyai buasir dalaman pada masa tersebut, ia mungkin akan ditolak keluar.
Berat badan berlebihan memberikan tekanan yang lebih kepada saluran venus. Oleh itu,jika anda mempunyai berat yang berlebihan,anda perlulah mengambil insiatif untuk mengurangkan berat badan anda.
- Mengandung
Mengandung merupakan penyebab utama buasir terutamanya kepada wanita muda. Ia berlaku bila adanya tekanan yang meningkat disebabkan oleh rahim yang membesar. Di samping itu, bekalan darah wanita yang mengandung akan meningkat lebih daripada biasa. Oleh itu, dengan sendirinya ia memberikan sedikit tekanan kepada saluran venus.
Hormon yang hadir semasa wanita mengandung pula menyebabkan otot-otot menjadi lebih relaks dan ini memburukkan lagi keadaan. Maka,wanita yang mengandung disarankan minum air yang banyak untuk membantu mengurangkan masalah ini.
Panduan Mengelak Buasir
1. Minum air sekurang-kurangnya 1.5 hingga dua liter sehari.
2. Kurangkan pengambilan daging merah kerana ia boleh menyebabkan sembelit.
3.Ubah pola pemakanan anda. Perbanyakkan mengambil makanan yang tinggi serat, bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran.
4. Kurangkan menikmati makanan segera.
5. Elakkan memakan makanan yang boleh menyebabkan gangguan pada proses pembuangan air seperti makanan pedas atau berempah.
6. Jangan tunggu ketika anda ingin membuang air besar dan cuba jangan meneran apabila membuang dan jangan berlengah-lengah ke bilik air.
7. Buat senaman kegel setiap hari. Ia dapat meningkatkan pengedaran di kawasan rectal dan menguatkan otot-otot di sekeliling anus, menguatkan otot-otot di vagina dan uretha mempercepatkan badan sembuh selepas bersalin.
8. Elakkan dari minum air tebu, memakan buah nenas dan kacang bendi.
9. Anda haruslah menjaga kebersihan pada kawasan dubur dengan cara mencuci kawasan tersebut lebih kerap dengan menggunakan sabun dan air selepas membuang air besar.
- Anda juga boleh merendamkan diri dalam air suam dua atau tiga kali sehari selama 15 minit atau menggunakan garam mandian kerana ia berupaya untuk mengecutkan kawasan dubur yang bengkak.
- Apabila terdapat gejala tertentu seperti darah dalam najis, sakit atau gangguan pada dubur segeralah berjumpa doktor dan jangan tunggu hingga ia melarat.
Petua 1: Ambil 7 biji ciku muda sebesar ibu jari. Kemudian rebus dan minum air rebusannya setiap pagi. Jadikan ia sebagai amalan setiap hari sehingga masalah buasir anda berkurangan dan lega.
Petua 2: Ambil buah tomato yang hampir masak dan goreng dengan sedikit minyak. Biarkan ia sejuk. Setelah itu sapukan pada bahagian buasir. Jadikan ini sebagai amalan sehingga buasir anda pulih.
Petua 3: Ambil segenggam daun pokok semambu. Tumbuk dan campurkan dengan sedikit garam untuk mengurangkan rasa pahit. Minum air daun tersebut dan sapu sedikit di bahagian buasir.
Jika keadaan anda masih berterusan,maka segeralah berjumpa dengan doktor.
Kredit foto: pgoaspryliving2
<< Anda bercadang untuk memakai ‘braces'? Ketahui bahaya yang menanti di sini.
No Comment