Kenali Penyebab & Tanda-Tanda Anda Telah Terkena Kanser Lidah
Foto: i.huffpost
Lidah merupakan salah satu organ deria manusia. Ia mengandungi tunas-tunas rasa yang membolehkan kita merasa makanan dan seterusnya memberikan kualiti hidup lebih baik.
Ramai manusia yang kehilangan deria merasa ini akibat kerosakan tunas-tunas rasa, masalah ketumbuhan pada lidah, kecederaan akibat kemalangan jalan raya ataupun gangguan pada saraf yang bertanggungjawab menerima rangsangan sensori daripada apa yang kita makan.
Kanser Lidah
Kanser lidah ialah penyakit yang berlaku dalam praktis otorinolaringologi. Golongan yang berusia antara 50 hingga 70 tahun kerap menghidapi kanser lidah. Berdasarkan rekod, golongan lelaki kerap menghidapi kanser lidah, mungkin disebabkan tabiat merokok dan pengambilan alkohol.
Walau bagaimanapun, kanser lidah juga dijumpai di kalangan wanita walaupun peratusnya rendah. Data terkini menunjukkan wanita yang mempunyai kekerapan yang hampir sama dengan lelaki yang menghidap kanser lidah.Kanser lidah boleh muncul daripada kesan keadaan leukoplakia pada lidah, ulser yang kronik atau keadaan pramalignan lidah yang lain. Kebanyakan keadaan pra-malignan yang terdapat pada lidah juga disebabkan oleh faktor merokok.
Tanda-Tanda Kanser Lidah
- Berubah deria rasa.
- Pendarahan di dalam mulut.
- Keretakan di kawasan lidah.
- Kesukaran makan atau menelan.
- Kesukaran bercakap.
- Bengkak nod limfa di leher.
- Penebalan kawasan lidah.
- Kesakitan pada lidah.
Penyebab Kanser Lidah
Merokok dikenalpasti menjadi faktor utama kes-kes kanser peti suara, paru-paru dan banyak lagi organ lain di dalam badan. Ia adalah faktor yang boleh dicegah dengan cara mengelakkan pengambilannya.
- Alkohol
Pengambilan alkohol adalah antara faktor yang dikenalpasti meningkatkan risiko mendapat kanser lidah. Kombinasi antara merokok dan mengambil alkohol akan memberikan kesan sinergi yang menambahkan lagi kemungkinan menghidapi kanser.
Amalan ini menjadi kelaziman bagi orang lama, yang mana tembakau, sama ada yang asli atau ditambah dengan perisa dikunyah dan dikemam di dalam mulut.
Penjagaan gigi yang tidak bersih dan gigi yang tajam serta gigi palsu yang tidak sesuai akan menyebabkan iritasi berterusan dan berpanjangan terhadap struktur-struktur lidah. Lidah yang selalu tercedera baik akibat gigi yang tajam atau gigi palsu yang tidak sesuai mungkin meningkatkan risiko ketumbuhan yang berbahaya.
- Faktor Lain
Masalah malnutrisi seperti diet yang kekurangan vitamin adalah antara kebarangkalian yang dikaji boleh meningkatkan risiko kanser lidah. Selain itu, anemia kekurangan zat besi juga dikaitkan dengan kejadian kanser lidah.
Rawatan
Kanser lidah di peringkat awal boleh dirawat dengan pembedahan membuang ketumbuhan. Kaedah meletakkan implan yang mengeluarkan radiasi juga diaplikasikan bagi sesetengah pesakit yang bersesuaian.
Kanser yang agak besar saiznya pula mungkin memerlukan pembedahan yang lebih besar terhadap lidah dan leher. Bagi pembedahan yang agak besar, akan disusuli proses membaikpulih struktur yang tertinggal dengan kaedah-kaedah yang sesuai.
Rawatan kemoterapi, radioterapi atau kombinasi yang sesuai dengan keadaan tahap pesakit mungkin diperlukan bagi memastikan keseluruhan sel-sel kanser itu dihapuskan dari badan pesakit.
<< Ketahui penyebab dan cara mengubati sakit asma di sini.
No Comment