Ambil Tahu, Bagaimana Penyakit Talasemia Diturunkan Kepada Anak
Foto: chfa.ca
Penyakit talasemia adalah kumpulan penyakit yang menghalang badan daripada menghasilkan jumlah darah yang berkualiti dan mencukupi.Keadaan ini disebabkan oleh perubahan terhadap gen yang mengawal penghasilan hemoglobin.
Hemoglobin adalah satu protein di dalam sel darah merah yang berfungsi untuk membawa oksigen ke seluruh tisu-tisu di dalam badan. Perubahan kepada hemoglobin boleh menyebabkan kekurangan darah yang teruk. Badan manusia bergantung kepada tahap hemoglobin yang berfungsi dengan baik.
Penyakit talasemia adalah penyakit keturunan yang diwarisi daripada ibu atau bapa kepada anak melalui gen. Ianya bukan penyakit berjangkit, iaitu tidak boleh ditransmisi melalui darah, udara dan air, atau melalui sentuhan fizikal dan seksual dengan pesakit talasemia. Ia boleh disebabkan oleh kekurangan zat makanan atau masalah kesihatan.
Satu daripada dua puluh penduduk Malaysia adalah pembawa gen talasemia. Di Malaysia, terdapat 600,000 hingga 1 juta pembawa talasemia, dan lebih kurang 2500 pesakit talasemia major. Kebanyakan pesakit adalah daripada keturunan Melayu, Cina dan kaum Bumiputera Sabah.
Jenis-jenis Talasemia
- Pembawa Gen Talasemia (Talasemia minor)
Pembawa gen talasemia tidak menunjukkan apa-apa tanda atau masalah kesihatan. Pengesanan hanya boleh dibuat mengenai ujian darah talasemia. Seorang pembawa boleh menurunkan gen talasemia kepada anak-anaknya.
- Pesakit Talasemia (Talasemia major)
Pesakit talasemia major akan menunjukkan tanda-tanda sejak dari umur 3- 18 bulan. Tanda dan gejala termasuk:
- Keadaan pucat yang semakin ketara, sentiasa lemah dan resah.
- Anemia yang serius boleh menyebabkan kesukaran bernafas.
- Perut buncit disebabkan pembengkakan hati dan limpa
- Tumbesaran terbantut.
- Semakin anak membesar terdapat perubahan pembentukan di bahagian muka.
Tanda-Tanda Penyakit Talasemia
Sel darah merah dalam penghidap Talasemia Major hanya boleh hidup dalam beberapa minggu sahaja berbanding dengan sel darah merah yang normal selama 4 bulan. Kekurangan hemoglobin menyebabkan kekurangan oksigen dalam setiap sel badan.
Bagaimana Penyakit Talasemia Diturunkan Kepada Anak?
Anak mewarisi gen talasemia daripada ibu dan bapa. Contohnya, jika kedua-dua ibubapa adalah pembawa gen talasemia, berkemungkinan setiap kehamilan melahirkan bayi berpenyakit talasemia adalah tinggi.
Rawatan Untuk Pesakit Talasemia
Pesakit talasemia major perlu mendapatkan rawatan transfusi darah sebanyak 1-2 kali sebulan untuk seumur hidup. Ini akan mengembalikan paras hemoglobin ke tahap yang lebih baik dan tisu-tisu di dalam badan akan mendapat bekalan oksigen yang mencukupi.
Akan tetapi, transfusi darah yang berpanjangan akan menyebabkan pengumpulan zat besi yang berlebihan di dalam organ-organ penting. Fungsi organ-organ seperti jantung, hati dan kelenjar endokrin akan terjejas dan akan mendatangkan kesan buruk terhadap pesakit.
<< Ketahui punca ruam bayi serta cara untuk mengatasinya di sini.
No Comment