Punca @ Penyebab Hidung Anak Mudah Berdarah
Sekiranya anak anda tiba-tiba mengalami hidung berdarah, anda pasti akan panik.Tambahan pula, situasi ini adalah yang pertama kali.
Kebiasaannya hidung berdarah ini berlaku pada kanak-kanak berusia bawah 10 tahun. Walaupun masalah ini sering dilihat berlaku di kalangan kanak-kanak,namun masalah hidung berdarah ini tidak serius dan mudah dirawat.
Jenis-jenis Pendarahan Hidung
- Pendarahan Hadapan Hidung (Anterior Nosebleed)
Perdarahan hidung biasanya berlaku di bahagian hadapan hidung, di mana terdapat banyak salur darah kecil yang rapuh dan berdekatan dengan permukaan kulit. Kawasan ini dipanggil ‘Little’s area’.
- Pendarahan Belakang Hidung (Posterior Nosebleed)
Pendarahan ini jarang berlaku pada kanak-kanak tetapi lebih kerap berlaku pada orang yang lebih dewasa terutamanya yang mengalami darah tinggi. Hidung berdarah jenis ini selalunya menyebabkan darah mengalir ke belakang tekak walaupun seseorang itu telah duduk atau berdiri. Ini kerana pendarahan berlaku pada salur darah yang lebih dalam.
Punca Hidung Berdarah
- Sejuk dan alahan.
- Jangkitan pada salur hidung.
- Menghembus hidung terlalu kuat.
- Memicit hidung.
- Kecederaan pada bahagian dalam hidung.
- Dinding tengah hidung senget.
- Ketumbuhan di dalam hidung.
- Ubat-ubatan yang melambatkan pembekuan darah.
- Kanak-kanak kecil memasukkan makanan atau alat mainan ke dalam hidung mereka secara tidak sengaja.
Langkah Kecemasan Sekiranya Anak Anda Mengalami Hidung Berdarah
- Beri keselesaan kepada anak anda apabila dia mengalami hidung berdarah.
- Galakkan anak anda untuk meniup hidung berdarah dengan lembut untuk mengeluarkan semua darah beku.
- Kemudian,dudukkan anak anda di dalam keadaan menegak dan tunduk ke depan secara membongkok.
- Tekan bahagian hadapan hidung iaitu bahagian yang lembut bukannya tulang hidung dengan mengunakan ibu jari dan jari telunjuk selama 10 minit. Suruh anak anda bernafas dengan menggunakan mulut.
- Letakkan tuala sejuk atau kain yang berisi ais batu pada dahi dan bahagian atas hidung. Tindakan ini akan mengecutkan salur-salur darah di hidung dan menghentikan hidung berdarah dengan lebih cepat.
- Bawa anak ke hospital dengan segera jika anak berasa pening,nampak pucat atau hidung berdarah dengan banyak dan berterusan.
Tips Mencegah Hidung Berdarah
- Pastikan kuku anak anda pendek untuk mengelakkan kecederaan pada dinding hidung ketika anak anda ‘mengorek hidung'.
- Kekalkan kelembapan di bahagian dalam hidung dengan menggunakan ‘saline nasal spray' yang boleh didapati di farmasi atau sapukan sedikit krim antibiotik di sekeliling lubang hidung.
- Sekiranya udara di rumah agak kering,anda bolehlah menggunakan ‘air humidifier' di rumah.
- Pastikan anak anda memakai helmet atau kelengkapan perlindungan diri yang lain apabila melibatkan diri dalam sukan yang boleh menyebabkan kecederaan pada hidung.
Kesimpulan
Sekiranya perdarahan tidak berhenti, bawa anak anda untuk berjumpa dengan doktor. Mungkin anak anda memerlukan rawatan lain seperti ‘pek hidung’ (nasal pack).
Kredit foto: ocnosejob
<< Ketahui punca payudara bengkak menjelang menstruasi dan cara meredakannya di sini.
No Comment