Amalan Menabung Jaminan Masa Depan Anda
Foto: Sekadar Hiasan
Amalan Menabung.Tahukah anda amalan menabung boleh menjamin masa depan yang lebih cerah.
Pepatah Melayu ada mengatakan sehari selembar benang,lama-lama menjadi kain. Peribahasa ini bermaksud jika kita melakukan sesuatu itu sedikit demi sedikit, lama-kelamaan sesuatu yang kita lakukan itu menjadi banyak. Secara tersiratnya peribahasa ini mengajak masyarakat kita mengamalkan sikap suka menabung.
Malah kerajaan juga telah melancarkan kempen menabung menjamin masa depan dalam usaha menggalakkan masyarakat menabung untuk masa hadapan.
Antara Faedah Menabung Yang Boleh Anda Peroleh:
1. Mendapat Keuntungan
Lakukan simpanan kewangan anda di bank yang sesuai. Hal ini kerana wang yang disimpan di bank akan dibayar faedah yang di beri oleh pihak bank. Sebagai contoh, jika kita menyimpan wang di dalam akaun simpanan tetap, kita akan dibayar faedah mengikut kadar dan tempoh simpanan.
Oleh itu, lebih lama wang itu disimpan, lebih tinggi kadar faedah yang akan diperoleh. Selain itu, tempat yang mengalakkan masyarakat untuk menabung ialah Amanah Saham Nasional Berhad (ASB). Contohnya, seorang pelabur mempunyai simpanan sebanyak RM10,000 dan berhasrat untuk menyimpan dalam akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB).
Pada akhir tahun yang ke-10, pelaburan awal yang dilakukan sebanyak RM10,000 itu dijangka akan menghasilkan jumlah simpanan sebanyak RM21,589.25. Jumlah wang yang dilaburkan dalam akaun ASB bakal meningkat sebanyak 53.68% daripada jumlah modal pelaburan.
Baca Juga: Wajib Simpan Duit
2. Membantu Di Saat Dalam Keadaan Kecemasan Yang Memerlukan Wang
Kita sebenarnya tidak dapat menjangka hal yang akan berlaku kepada diri kita atau keluarga kita di masa akan datang, bak kata pepatah, malang tidak berbau.
Jadi ,kita perlulah mengambil langkah lebih awal dalam perkara ini dengan menggunakan duit simpanan sebagai duit kecemasan ketika di perlukan.Kita boleh menggunakan wang simpanan untuk mendapatkan rawatan yang baik di hospital ketika di perlukan.
3. Keselesaan Hidup Dalam Persaraan
Skim persaraan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja mungkin dapat menampung keperluan hidup semasa bersara. Walau bagaimanapun, untuk menikmati hidup yang lebih selesa selepas bersara, kita juga perlu menabung dan merancang kewangan agar duit yang di simpan tidak di bazirkan begitu sahaja.
Memandangkan kos sara hidup zaman 2015 ini semakin meningkat, jadi anda wajib menabung demi kebaikan anda juga.
Baca Juga: Cara Betul Menyimpan Duit Gaji
4. Dapat Membiayai Pendidikan
Untuk berjaya dalam hidup, kita memerlukan pendidikan yang sempurna. Anak-anak anda nanti tentunya memerlukan pendidikan yang mencukupi bagi mendapatkan kemahiran dan ilmu pengetahuan yang cukup. Segala kos pendidikan ini perlu dibiayai untuk masa depan anak-anak.
Pada masa sekarang pelajaran amatlah penting jika hendak mendapat kerja yang bagus dan masa depan yang cerah. Oleh itu, kita perlu menabung dengan secukup-cukupnya untuk pendidikan anak-anak nanti.
Baca Juga: Penyebab Anda Tak Kaya & Banyak Duit
5. Dapat Membeli Barang Keperluan
Kebanyakan barang seperti peti sejuk, televisyen dan perkakas rumah yang lain telah menjadi keperluan asas dalam kehidupan zaman moden ini. Barang-barang ini dapat menambah keselesaan hidup. Bagaimanapun, kita hendaklah mengelak daripada berbelanja di luar kemampuan sehingga dibebani hutang.
Jikalau kita membeli dengan cara berhutang, kita akan membayar dengan harga yang lebih tinggi. Dengan menabung, kita boleh membeli secara tunai pada harga yang lebih murah.
Kita mesti mengamalkan sikap suka menabung. Kanak-kanak harus digalakkan supaya menabung sejak kecil lagi. Wang yang disimpan itu mungkin sedikit tetapi sikit-sikit lama-lama jadi bukit.
Sesungguhnya menabung adalah amalan mulia dan banyak manfaatnya, bak kata pepatah, ‘beringat sebelum kena, berjimat sementara habis’. Oleh itu, mulalah menabung dari sekarang kerana ‘sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit’.
Nota Kaki: SHARE artikel ini dengan kawan-kawan anda supaya mereka lebih menyedari kepentingan menabung.
<< Dapatkan maklumat mengenai cara pengurusan wang yang betul di sini..
No Comment