Biar Muka Tak Berapa Cantik, Asalkan Gigi Putih, Bersih & Menawan
Semua orang tentu mahu gigi yang putih serta tersusun cantik. Tetapi, tak semua orang bernasib baik dan dikurniakan gigi sedemikian rupa.
Pada zaman moden nie terdapat pelbagai cara yang digunakan untuk membolehkan anda memiliki gigi yang cantik dan menawan. Jadi, jangan risau dan pernahkah anda dengar tentang tanam gigi atau implant gigi? Rawatan ini semakin popular di kalangan masyarakat Malaysia. Siapa yang tidak mahu dipandang cantik apabila senyum bukan?
Jadi, gigi merupakan agen yang sangat penting untuk menghasilkan senyuman yang menawan. Namun anda tidak perlu risau kerana dengan kemajuan teknologi sekarang, gigi yang tiada, masih boleh digantikan dengan kaedah tanam gigi.
Apa itu tanam gigi?
Anda tahu apa itu tanam gigi? Implant gigi merupakan nama lain bagi tanam gigi. Ia berbentuk seperti skru, dihasilkan daripada logam titanium dan ditanam pada tulang rahang di tempat asal gigi yang tanggal. Ia bertindak sebagai akar bagi gigi palsu. Kaedah ini boleh digunakan untuk menggantikan satu atau beberapa batang gigi.
Tujuan tanam gigi:
- Membolehkan seseorang makan dengan lebih baik,
- Menggantikan satu atau lebih gigi yang hilang tanpa menjejaskan gigi bersebelahan.
- Memberi sokongan kepada barisan gigi palsu, menjadikan ia lebih kukuh dan selesa.
- Tidak perlu lagi menggunakan gigi palsu boleh tanggal (sekali gus menyelesaikan masalah berkaitan gigi palsu boleh tanggal).
- Membantu mengekalkan bentuk muka kerana kehilangan gigi lama kelamaan menyebabkan rahang mengecut dan membuatkan bahagian bawah muka kelihatan turut mengecil.
- Membolehkan seseorang bercakap dengan selesa.
- Membantu mengembalikan keyakinan kerana ramai berasa rendah diri dan malu untuk membuka mulut apabila kehilangan gigi, terutama gigi kacip (bahagian depan). Ia juga penting untuk memperlihatkan imej menarik dan menyakinkan, khususnya bagi individu yang mencari kerja.
Hukum tanam gigi (implant)?
Membuat rawatan gigi seperti tanam gigi atau apa-apa rawatan moden hukumnya adalah harus sama ada tujuannya untuk kesihatan, keselesaan atau kecantikan. Dibolehkan menanam gigi yang telah rosak dan menggantikannya dengan gigi yang baru. Ia tidak termasuk mengubah ciptaanNya kerana pada asalnya gigi tersebut wujud dan kemudian rosak. Bukankah Allah suka pada makhlukNya yang kelihatan cantik?
Tanam gigi atau implan adalah satu alternatif untuk anda yang kehilangan gigi. Namun begitu, sudah menjadi tanggungjawab anda untuk mengekalkan kesihatan gigi asal. Sayangi gigi anda. Lakukan pemeriksaan dua kali setahun.
Kredit foto: whitersmile
<< Ingin tahu punca yang membuatkan gigi anda nampak kuning? Baca di sini.
No Comment