“Sehati Sejiwa” Mencerminkan Roh Kesepaduan, Kesefahaman, Kekitaan & Kemanusiaan Seluruh Rakyat Malaysia
Sehati Sejiwa Adalah Tema Hari Kebangsaan 2015 dan pelbagai aktiviti sampingan lain diadakan sepanjang sambutan bulan kemerdekaan ini, selain upacara kemuncaknya pada tanggal 31 Ogos nanti.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Dato’ Sri Rohani Abdul Karim, dalam ucapannya di perhimpunan bulanan kementeriannya serta pra pelancaran Hari Wanita Kebangsaan 2015, sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini dikatakan lebih menekankan kepada semangat kejiwaan dan bersatu hati rakyat Malaysia apabila Sehati Sejiwa dipilih sebagai temanya.
Tambah Rohani, Sehati Sejiwa mencerminkan roh kesepaduan, kesefahaman, kekitaan dan kemanusiaan seluruh rakyat Malayisa. Di samping itu, ia turut melambangkan semangat kesepaduan yang dimiliki oleh semua rakyat Malaysia tidak kira di mana mereka berada.
Rohani memberitahu, mulai tahun 2015, Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tidak lagi disebut berdasarkan ulang tahun. Sebaliknya disebut mengikut tahun, contohnya Sambutan hari Kebangsaan Tahun 2015 dan Sambutan Hari Malaysia Tahun 2015.Bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan 2015, Rohani turut menekankan tentang penghayatan kemerdekaan yang bukan sekadar melaung-laungkan perkataan “Merdeka”, tetapi kesyukuran kita terhadap kebebasan daripada cengkaman penjajah. Malahan kebebasan minda daripada terpengaruh dengan anasir-anasir negatif yang mahu mengugat keharmonian dalam masyarakat kita.
“Marilah kita memupuk semangat patriotisme dengan mengenang semula jasa tokoh-tokoh negara yang telah memperjuangkan tanah air di zaman silam. Tanpa perjuangan mereka kita tidak mungkin dapat mencegapi kemerdekaan hingga kini,” ujarnya.
Di samping itu, beliau juga turut mengajak semua rakyat Malaysia bersama-sama menanam rasa syukur, sayang dan berbangga dengan negara kita dan mengibarkan “Jalur Gemilang”. Kita juga diajak untuk lebih memahami nilai-nilai yang terkandung dalam lagu “Negaraku” dan 5 Prinsip Rukun Negara dengan jelas dan mendalam. Sematkan juga dalam diri semangat cintakan negara dan menjaga nama baik Malaysia walau di mana sahaja kita berada.
<< Ketahui kisah Pra Pelancaran Hari Wanita Kebangsaan 2015 di sini
Untuk info selanjutnya sila Layari facebook Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
No Comment