5 Perkara Bijak Mengurus Wang Yang Saya Belajar Daripada Seorang Ibu Tunggal
Jom baca artikel dari panel perunding kita iaitu Pak Di dengan tajuk artikel kepentingan dalam pengurusan kewangan peribadi.
Almarhumah emak saya merupakan seorang ibu tunggal selama hampir 18 tahun.
Beliau kemudiannya telah menyahut panggilan Ilahi pada usia 63 tahun dan pada ketika itu beban kewangannya telahpun habis.
Almarhum bapak saya meninggal dunia ketika semua adik-beradik saya masih belajar, yang paling kecil berusia tujuh tahun dan yang paling besar baru 21 tahun.
Seorang ibu tunggal yang menguruskan tujuh orang anak yang masih belajar, yang hanya bergantung harap dengan pendapatan pencen almarhum suaminya bukan satu perkara yang mudah. Banyak cabaran yang perlu dihadapi sepanjang 18 tahun membesarkan hampir kesemua anak-anak, secara bersendirian.
Berikut adalah 5 perkara yang saya dapat kongsikan kepada semua, bagaimana almarhumah emak saya menguruskan perbelanjaan.
1. Utamakan yang utama
Anak kecil mana yang tidak mahukan permainan konsol semasa kecil. Pada sekitar tahun 1990-an, yang popular sudah tentu permainan video Nintendo. Ketika itu juga yang popular adalah permainan Tetris.
Anak mana yang tidak teringin pergi bercuti. Berjalan-jalan ke tempat peranginan. Menjawab soalan karangan Bahasa Melayu selepas habis cuti sekolah antara perkara yang sukar dibuat. Sebab cikgu sering suruh buat karangan bertajuk, “Pengalaman cuti sekolah,”
Malah, ketika rumah-rumah lain telah memasang ASTRO, rumah almarhumah emak hanya ada siaran televisyen percuma.
Tapi ada 2 perkara yang almarhumah emak tidak berkira untuk berbelanja untuk anak-anaknya:
i) Makan mesti cukup.
ii) Buku.
Alhamdulillah. Saya tidak pernah kelaparan.
Akhbar, buku sehinggalah majalah Gila-Gila, Dorameon hatta komik kungfu Cina pun ada bajetnya. Dalam marah-marah, almarhumah berikan juga duitnya.
2. Jika tidak cukup duit, berniaga
Roti, kuih tat nenas dan kek lapis.
Toga jenis makanan yang saya ingat kerana itu antara bisnes yang almarhumah emak saya buat, dan saya antara menjadi tukang hantar ke kantin sekolah dan cikgu-cikgu.
Semasa kecil saya tidak merasa terbeban menjadi budak penghantar kuih. Seronok. Mungkin sebab makcik kantin, dan cikgu-cikgu selain membayar harga, mereka selitkan juga beberapa sen untuk si budak penghantar kuih ini.
3. Untuk perbelanjaan besar, rancang dari awal.
Almarhumah emak, ada sebuah buku biru yang besar.
Di situ beliau ada mencatat semua perbelanjaan besar yang perlu disediakan lebih awal. Saya tak pasti bagaimana beliau melakukannya seorang diri.
Apa yang pasti, perbelanjaan besar seperti majlis perkahwinan anak-anaknya adalah mencukupi. Bermaksud, dia sudah menyediakan rancangan perbelanjaan majlis perkahwinan untuk anak-anaknya seawal mungkin.
Ya, untuk kesemua 7 orang anak.
4. Simpan semua dokumen penting.
Apabila almarhumah emak meninggal, semua dokumen berkaitan harta seperti geran tanah, duit simpanan, hutang piutang mudah sahaja dicari. Kerana dokumen-dokumen tersebut disimpan di satu tempat sahaja. Tak perlu cari di tempat lain.
Justeru, ia memudahkan urusan pengurusan harta pusaka.
Segala dokumen tersebut disimpan dengan kemas, di sebuah peti besi yang kalis api.
5. Pasal belajar, Mak ada duitnya.
Seperti yang saya ada sebut dalam # 1, komik Doraemon pun almarhumah emak bagi saya beli.
Tapi nak dapatkan sepasang kasut bola yang paling murah, ia tidak semudah meminta duit belanja buku.
Antara pertimbangan saya satu ketika dulu adalah bagaimana nak bayar duit sambung belajar di universiti. Saya mengambil keputusan untuk tidak mengambil pinjaman PTPTN. Saya memberanikan diri menyatakan hasrat tersebut kepada almarhumah emak.
Almarhumah emak menjawab, “Tugas kau habiskan belajar, mak dah ada duitnya,”
Alhamdulillah, menjelang hujung tahun pengajian pertama, saya memperoleh biasiswa. Poket almarhumah emak pun selamat.
—
Almarhumah emak tidak lah mempunyai pendidikan formal dalam pengurusan kewangan. Beliau tidaklah mengajar kepada anak-anaknya.
Namun banyak yang saya dapat belajar dengan cara pemerhatian.
Selepas mempunyai tiga orang anak (setakat ini) saya dapat merasai sedikit sebanyak kesusahan almarhumah emak untuk membesarkan bukan seorang anak, tetapi tujuh orang, secara berseorangan, dengan pendapatan yang terhad.
Lima perkara ini bukanlah terhenti setakat ini sahaja.
InsyaAllah saya dapat berkongsikannya dalam siri artikel yang akan datang.
Kredit Foto kepada arcrelocation
<< Jom ketahui teknik bagaimana boleh mengawal sikap boros di sini..
No Comment