Resolusi Tahun Baru “Overrated”?
Tup… tap… tup… tap… kita dah pun sampai ke penghujung tahun 2015. Kebiasaannya apakah di antara perkara-perkara yang akan anda lakukan menjelang tahun baru?
Dalam pemerhatian saya, ramai yang akan mula memikirkan tentang azam tahun baru mereka. Ada juga yang akan merungut tentang azam tahun 2015 itu sendiri yang masih belum tercapai. Tidak kurang juga yang akan mencemuh konsep azam tahun baru ini dan melabelkannya sebagai “overrated”.
Sebenarnya apakah resolusi atau azam ini? Mungkin perkataan “resolusi” atau “azam” bunyinya terlalu canggih tetapi sebenarnya dalam bahasa mudah ia merupakan apa jua impian atau matlamat bagi seseorang. Saya pasti ramai yang membaca sekarang mempunyai sekurang-kurangnya satu impian atau hajat yang ingin dipenuhi.
Jadi, tak kiralah sama ada anda seseorang yang suka berazam baru ataupun tidak, berikut 5 langkah mudah yang boleh anda amalkan untuk memenuhi sebarang impian atau sasaran anda:-
#1 – Tuliskan
Lazimnya apabila seseorang itu mempunyai sebarang azam baru, perkara tersebut akan menjadi suatu bahan cerita yang akan dikongsikan dengan ahli keluarga dan juga rakan-rakan. Tetapi jarang untuk seseorang menuliskan apa yang dihajati sebagai azam baru itu.
Ingin saya sarankan di sini untuk anda menjadikan satu tabiat untuk menulis pada sehelai kertas apa yang anda inginkan; selepas anda sudah mengenalpasti apakah yang ingin dikecapi.
Ini akan meletakkan diri dan minda anda dalam “standby mode” untuk melakukannya dan merupakan suatu cara untuk anda meletakkan “ownership” pada azam tersebut.
Baca Juga: Kaitan Warna Dengan Teknik Pernafasan
#2 – Lakukan “Reality Check”
Kadang-kadang tanpa disedari, sungguhpun azam baru yang ditetapkan merupakan apa yang dihajati tetapi disebaliknya azam tersebut bukanlah sesuatu yang sesuai dengan diri seseorang itu. Banyak azam yang tidak tercapai kerana faktor ini.
Sebagai contoh, seseorang yang ingin mengurangkan berat badan mungkin terfikir sangat susah untuk dirinya memenuhi azam tersebut kerana tidak berupaya memujuk diri untuk ke gym setiap minggu. Mungkin masalahnya bukanlah pada azam ingin mengurangkan berat itu sendiri tetapi mungkin gym bukan cara sesuai untuk individu tersebut. Mungkin jika diberi pilihan lain seperti berjoging di taman lebih memuaskan.
Ini yang dimaksudkan perlunya membuat “reality check”. Tanya diri anda “Adakah perkara ini sesuai untuk saya dan adakah saya akan dapat meneruskannya untuk jangka masa panjang?”.
#3 – Rancangkan
Setelah anda sudah mengenal pasti dan menulis apa yang anda inginkan sebagai azam tahun baru dan telah pun membuat “reality check”, seterusnya buat perancangan bagaimana anda boleh mencapainya.
Fikirkan langkah-langkah praktikal yang boleh anda ambil satu per satu untuk menjadikan impian anda itu suatu realiti dan dalam masa yang sama kenal pasti apakah cabaran ataupun halangan yang bakal anda tempuhi dalam usaha anda untuk mengecapi azam tersebut; agar anda dapat mempersiapkan diri dan sekaligus dapat memikirkan pelan alternatif.
Baca Juga: Warna Mengikut Hari
#4 – Berangan
Sekiranya anda sudah membaca artikel penulisan bulan Oktober yang bertajuk “Tips Berjaya Dengan Berangan” anda pasti sudah sedia maklum maksudnya di sini.
Tetapi bagi mereka yang pertama kali membaca, anda pasti akan terfikir “biar betul?”Berangan yang dimaksudkan di sini adalah berangan secara produktif yang ataupun dalam erti kata lebih rasmi “visualisasi”.
Bayangkan impian atau matlamat anda secara jelas dan teliti bermula dari apa yang anda inginkan, bagaimana anda akan mendapatkannya sehinggalah bayangkan apakah perasaan anda apabila anda sudah memenuhi hajat atau matlamat tersebut.
Rasionalnya adalah apabila anda membayangkan sesuatu, minda anda akan merekod bayangan tersebut ke dalam minda separa sedar. Bila tiba masanya untuk anda melakukan apa yang dirancang, tubuh anda akan terus melakukan apa yang telah dirancang secara automatik tanpa perlu memikirkannya lagi.
Baca Juga: Kaki Berangan
#5 – Lakukannya
Langkah ini yang selalunya menjadi penghalang kepada kejayaan sesuatu azam kerana ramai yang akan kecundang apabila tiba masanya untuk mereka mengorak langkah pertama ke arah apa yang di hajati.
Ada yang mula meragui kebolehan sendiri untuk melakukan apa yang telah di rancang dan ada yang merasakan “overwhelmed” dengan azam tersebut dan oleh sebab itu mengambil langkah mudah untuk membiarkannya tidak tertunai.
Jadi, bagi memastikan anda akan melakukan apa yang telah di rancang, setiap hari lakukan satu perkara tidak kiralah sekecil mana pun yang akan mendekatkan diri anda dengan apa yang ingin dikecapi.
Bak kata pepatah Melayu “sikit-sikit…lama-lama jadi bukit”; percayalah apabila anda sudah memulakan langkah pertama, kedua, ketiga dan seterusnya; tanpa disedari anda akan mula melihat hasil dari apa yang telah anda lakukan.
Baca Juga: Tips Meningkatkan Keyakinan Diri
Itulah dia 5 tips yang saya harap dapat membantu para pembaca memenuhi matlamat atau impian anda bagi tahun 2016. Ingin saya akhiri artikel ini dengan mengucapkan selamat menyambut tahun 2016 dan semoga segala impian anda bakal tercapai dalam tahun baru nanti.
Artikel ini ditulis oleh Puan Alauddin, Pengasas MYRYL
<< Ketahui juga Tips Untuk Kurus di sini.
No Comment