Apa Yang Dilakukan Ketika Ujian Pap Smear?
Kredit Foto: deviantart
Ujian Pap Smear.Tahukan anda ujian pap smear ini menyelamatkan jiwa jutaan wanita di seluruh dunia daripada kanser serviks.
Setiap minit, seorang wanita disahkan menghidap kanser serviks di dalam dunia. Bahkan, kanser tersebut merupakan pembunuh kedua tertinggi wanita di Malaysia selepas kanser payudara! Kanser serviks atau kanser pangkal rahim boleh menyebabkan keseluruhan rahim dibuang dan menyebabkan wanita itu tidak boleh mengandung lagi. Malah pengesanan yang lambat juga boleh meragut nyawa akibat keseriusan kanser tersebut.
Baca Juga: Bahaya Seks Ketika Haid
Kanser ini boleh berlaku kepada mana-mana wanita yang pernah melakukan seks walaupun sekali sahaja. Tidak kira usia dan gaya hidup kerana ia terjadi akibat jangkitan Human Papillomavirus (HPV) ketika hubungan intim. Ironinya, kanser serviks boleh dicegah dengan pengesanan awal melalui ujian pap smear tetapi wanita memberi seribu satu alasan mengelak daripada melakukan ujian yang mampu menyelamatkan nyawa ini. Malu antara alasan utama mereka.
Bagi mereka, ‘terkangkang’ dan menunjukkan alat sulit di hadapan doktor dalam keadaan sedar adalah sesuatu yang amat memalukan. Namun,demi kesihatan, pemeriksaan ujian pap smear ini sangat penting, malah ia mudah dan tidak menyakitkan.
Apa itu Ujian Pap Smear?
- Ujian PAP ini juga dikenali sebagai Pap Smear (ujian papanicolaou). Ujian ini dilakukan dengan mengambil sedikit tisu dari pangkal serviks. Kemudian, tisu itu dihantar ke makmal untuk mengesan tisu-tisu yang abnormal dan berpotensi untuk menjadi kanser.
- Biasanya sel serviks tidak berubah menjadi sel kanser dalam masa semalaman. Sel yang normal akan mengalami beberapa perubahan dalam jangka masa tertentu sebelum menjadi sel kanser. Ujian pap smear boleh mengesan perubahan pada sel di peringkat awal sebelum ia berubah menjadi sel kanser.
- Masa yang diambil bagi sel normal untuk menjadi sel kanser adalah di antara dua hingga 10 tahun. Jadi, sekiranya pap smear dilakukan setiap tiga tahun, peluang untuk mengesan sel-sel yang berpotensi menjadi sel kanser adalah cerah sebelum ia menjadi kanser serviks.
- Rawatan di peringkat awal mempunyai peluang yang cerah untuk sembuh. Di samping itu juga, semasa prosedur pap smear, doktor juga boleh mengesan polip dan jangkitan. Tahukah anda bahawa prosedur pap smear ini begitu cepat, iaitu kurang lima minit masa diambil untuk menjalani ujian tersebut dan ia tidaklah menyakitkan seperti yang sering digambarkan, cuma ada sedikit rasa tidak selesa.
Bila & Siapa Sebaiknya Melakukan Ujian Pap Smear?
Anda patut melakukan ujian pap smear setelah anda mula mengamalkan seks atau mencapai umur 26 tahun sehinggalah anda berusia 70 tahun. Wanita yang telah menjalani histerektomi (membuang rahim dan serviks) tidak perlu lagi melakukan pap smear, melainkan pembuangan rahim adalah sebagai rawatan pra kanser. Wanita yang telah menjalani histerektomi subtotal (membuang uterus tanpa membuang serviks) masih perlu melakukan pap smear secara berkala.
Selain itu, jika anda pernah atau aktif dalam hubungan seksual, anda digalakkan untuk menjalani ujian ini setiap tahun selama dua tahun. Sekiranya keputusan itu negatif, anda digalakkan mengulangi setiap tiga tahun sekali.
Baca Juga: Kuasa Alat Sulit Wanita
Apakah Persediaan Awal Yang Patut Anda Lakukan?
- Elakkan daripada sebarang penggunaan ubat dalam faraj dalam tempoh sehari sebelum ujian. Sebagai contoh ubat anti fungal, ubat maajun, krim vagina dan sebagainya.
- Elakkan daripada menggunakan tampon.
- Paling sesuai dilakukan pada hari ke-7 hingga ke-10 selepas hari pertama haid. Ujian ini tidak dapat dijalankan semasa anda kedatangan haid.
- Anda tidak digalakkan melakukan hubungan seks 24 jam sebelum ujian dijalankan kerana ia menyebabkan keputusan yang tidak tepat.
- Jangan lakukan ‘duoche' atau gunakan ‘spermicid', perancang keluarga, kaedah halangan atau penggunaan ‘jelly lubricant' dua hari sebelum ujian dijalankan kerana bahan kimia yang terdapat dalam bahan tersebut mungkin boleh memberi kesan kepada kualiti sampel.
Apa Yang Dilakukan Semasa Ujian Pap Smear?
- Anda akan diminta untuk berbaring di atas katil dengan lutut dinaikkan dan dibengkokkan.
- Spekulum (muncung itik), sepanjang empat inci,akan dimasukkan ke dalam vagina untuk membolehkan ia terbuka.
- Dengan pandangan selari, doktor akan memasukkan spatula kayu, untuk mengambil sampel sel dari servik.
- Sampel tersebut kemudiannya disebarkan di atas slaid kaca dan di sembur dengan alkohol. Seterusnya, ia dihantar ke makmal untuk diperiksa oleh ahli patologi.
- Anda akan berasa sedikit tidak selesa. Walaubagaimanapun, keseluruhan prosedur ini tidak menyakitkan.
Berapa Lama Keputusan Akan Diketahui?
Anda boleh mendapatkan keputusan anda dalam masa seminggu. Namun,boleh jadi anda akan mendapat keputusan tersebut lewat dalam tiga minggu hingga tiga bulan bergantung kepada beban kerja makmal dan klinik tersebut.
Sekiranya keputusan anda abnormal, jururawat akan menghubungi anda dan meminta anda untuk datang semula untuk membuat ujian ulangan serta berunding dengan doktor. Walaubagaimanapun, keputusan yang abnormal tidak bererti anda menghidap kanser serviks sebaliknya, ia bererti anda memerlukan pemeriksaan lanjut.
Di Mana Anda Boleh Menjalani Ujian Ini?
Anda boleh menjalani ujian pap smear di klinik sakit puan, pusat bersalin atau mana-mana klinik pengamal perubatan yang menawarkan ujian pap smear.
Golongan Yang Berisiko Untuk Mendapat Kanser Serviks?
Wanita yang dijangkiti ‘human papillomavirus’ di bahagian serviks mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat kanser serviks. Human Papillomavirus biasanya menjangkiti mereka yang melakukan seks rambang kerana ia adalah sejenis penyakit bawaan seks. Kanser serviks juga kerap terjadi dikalangan wanita yang merokok.
Ujian pap smear perlu dilakukan secara berkala kerana ia boleh berlaku lagi dalam tempoh tersebut asalkan ada melakukan hubungan seks. Dianggarkan empat daripada lima wanita yang aktif seks dijangkiti dengan HPV sepanjang hidup mereka walaupun mereka hanya mempunyai seorang atau dua orang saja pasangan.
Baca Juga: Penyakit Kelamin
Lebih menakutkan apabila tiada simptom atau tanda berlakunya kanser serviks pada tahap awal sehingga peluang untuk merawat daripada awal tidak sempat dilakukan.Sebagai wanita,anda perlulah mengambil inisiatif melakukan ujian pap smear sebagai langkah berjaga-jaga. Jangan bimbang kerana ujian ini mudah dan ia dilakukan oleh doktor yang terlatih
Nota Kaki: SHARE ya artikel ini.
<< Ketahui cara untuk mengatasi rasa gatal yang tak terperi akibat ‘pad' atau tuala wanita di sini.
No Comment