8 Cara Jimat & Tepat Urus Belanja Kahwin
Foto: Sekadar Hiasan
Belanja Kahwin. Ketahui cara menguruskan belanja kahwin buat pasangan yang akan mendirikan masjid.
Pada anda yang belum berkahwin dan bakal melangsungkan pekahwinan, pasti anda akan berasa gemuruh apabila tarikh perkahwinan yang anda tetapkan bakal tiba bukan? Perkara yang lazimnya menghantui pasangan yang bakal berkahwin ialah perkara yang melibatkan pembelanjaan perkahwinan.
Perlukah berbelanja besar untuk majlis perkahwinan? Berapakah selalu yang diperuntukkan untuk mengadakan majlis perkahwinan? Bagaimanakah untuk menjimatkan wang anda untuk melangsungkan resepsi perkahwinan anda tanpa menghilangkan kemeriahan majlis perkahwinan anda?
Islam juga mengesyorkan majlis pekahwinan hendaklah dilangsungkan secara bersederhana sahaja.
Di sini WOM.my sediakan cara urus belanja kahwin agar lebih berjimat cermat. Antaranya ialah:
1) Jimat Melalui Kad Perkahwinan
Antara perkara yang boleh dijimatkan untuk belanja kahwin anda adalah melalui kad perkahwinan. Tidak perlu membuatkan kad perkahwinan mahal atau ekslusif (melainkan anda mampu) kerana kebanyakan tetamu tidak akan menyimpan kad kahwin sesudah majlis tamat.
Antara langkah penjimatan yang boleh dilakukan melalui kad perkahwinan anda ialah dengan anda dan pasangan anda menempah kad perkahwinan pada satu pihak yang sama.
Lazimnya, apabila anda membuat kad perkahwinan pada satu pihak sahaja, harganya lebih murah. Malah mungkin mereka akan mengurangkan cas untuk seunit kad kahwin anda kerana anda sudah menempah dengan kuantiti yang banyak.
Pada kad kahwin juga sertakan maklumat-maklumat penting sahaja seperti nama pengantin dan lokasi perkahwinan. Tidak perlu memasukkan elemen yang kurang diperlukan seperti pantun atau doa untuk menjimatkan kos cetakan anda.
Kini, anda juga boleh sahaja menjemput rakan-rakan anda untuk datang ke majlis anda melalui laman sosial seperti Facebook. Tidak perlu menempah kad kahwin dengan kuantiti yang banyak dan berikan kad kahwin anda pada yang berkaitan sahaja, seperti keluarga terdekat kita.
# Pastikan juga pihak yang membuat kad perkahwinan anda tidak meletakkan harga tambahan yang tinggi pada seperti caj rekacipta dan caj peta.
# Anda juga boleh mencetak sendiri kad jemputan kahwin jika mempunyai masa yang masih panjang. Ianya lebih menjimatkan.
2) Minta Bantuan Saudara Mara & Sahabat Handai
Apabila berlangsungnya majlis perkahwinan, saudara mara dan rakan kita adalah pihak paling sesuai untuk kita meminta bantuan untuk melancarkankan majlis perkahwinan kita. Melalui bantuan saudara mara juga boleh menjimatkan belanja kahwin anda.
Mintalah bantuan saudara mara anda untuk membantu melancarkan majlis perkahwinan anda sekaligus membantu menjimatkan kos perkahwinan anda. Antaranya ialah menggubah hantaran anda. Tidak perlu untuk mengupah perancang perkahwinan untuk menguruskan majlis perkahwinan anda kerana kosnya yang mahal.
Rakan anda juga boleh membantu untuk solekan pada anda dan juga sesi bergambar. Ia secara tidak langsung akan mengeratkan silaturrahim.
3) Bergotong Royong
Ya, diakui sudah jarang kita lihat aktiviti gotong royong pada zaman pasca moden yang lebih mementingkan diri. Namun, melalui gotong royonglah anda akan dapat menjimatkan wang saku anda dengan kuantiti yang agak besar dan kemeriahan majlis perkahwinan pasti akan dirasai.
Pada majlis perkahwinan anda, mintalah bantuan jiran-jiran di sekitar anda dan saudara mara untuk membantu melangsungkan perkahwinan anda daripada pelbagai aspek iaitu dari segi penyediaan makanan, penyediaan khemah, bantuan membasuh pinggan dan gelas yang dipakai ketika digunakan tetamu untuk majlis itu dan pelbagai lagi.
Tidak perlu lagi menempah katering dalam majlis perkahwinan anda. Jimat bukan?
4) Pilih Pakej Perkahwinan yang Murah
Pada yang menetap dan melangsungkan majlis perkahwinan mereka di bandar, mungkin sukar untuk melakukan majlis perkahwinan secara bergotong royong kerana mungkin komitmen kerja jiran tetangga.
Jadi anda disyorkan untuk memilih pakej perkahwinan yang murah. Selidik dan kaji mana-mana pakej perkahwinan yang murah dan elak terus bersetuju dengan harga yang ditawarkan. Cuba tawar menawar untuk mengurangkan harja pakej untuk belanja kahwin anda.
Anda juga haruslah memastikan ambil dari satu pihak sahaja dan satu pakej untuk penyediaan majlis kahwin anda. Elakkan ambil katering dengan pihak lain dan khidmat solekan dari pihak lain kerana ia akan membuatkan belanja kahwin anda menjadi lebih tinggi.
Baca Juga: Checklist Perkahwinan
5) Buat Majlis Nikah & Sanding Dalam 1 Hari
Apabila anda melangsungkan majlis nikah dan sanding dalam hari yang sama secara tersurat atau tersirat dapat menjimatkan majlis perkahwinan anda. Anda tidak perlu menyiapkan makanan untuk tetamu sebanyak dua hari, dari situ anda dapat berjimat terutama dalam kos yang melibatkan makanan.
Selain daripada menjimatkan kos, ia juga menjimatkan masa. Tidak perlu hingga memakan masa berhari-hari untuk langsungkan majlis perkahwinan anda. Cukup satu hari untuk melangsungkan hari yang terindah di dalam hidup anda.
Baca Juga: Baju Nikah Muslimah
6) Penjimatan Pada Kadar Sewa Dewan dan Khemah
Bagi pasangan yang bakal berkahwin, pastikan anda bijak mencari dewan atau khemah untuk majlis resepsi anda. Pelbagai cara bagaimana untuk menjimatkan kos untuk dewan dan khemah.
Jika anda memilih untuk melangsungkannya di dewan, pastikan kadar sewa yang dikenakan tidaklah terlalu tinggi. Bijak membuat pilihan dan kaji kadar sewa yang murah dan sempurna segala kemudahan yang terdapat di dalam dewan itu.
Jika ingin berjimat dengan menyewa khemah, bandingkan segala pakej yang ditawarkan kepada anda. Pilih yang murah dan menawarkan anda pakej tambahan seperti set meja dan tempat duduk untuk tetamu dan sebagainya.
Jika majlis yang dilakukan hanya secara kecil-kecilan, disyorkan hanya menyewa dewan yang kecil dan khemah yang tidak terlalu banyak untuk menjimatkan kos anda.
Baca Juga: Katering Perkahwinan
7) Buat Perancangan dan Persiapan Awal
Jika majlis perkahwinan dirancangkan awal, segala persiapan akan menjadi lebih rapi. Membuat persiapan awal untuk majlis perkahwinan juga membantu anda untuk memilih segala kos dan pakej perkahwinan yang murah.
Anda boleh mengambil kesempatan ketika berlangsungnya jualan murah dan membeli barang-barang perkahwinan sedikit demi sedikit. Anda juga boleh memilih pakej terbaik pada majlis anda nanti, iaitu seperti untuk sesi fotografi anda nanti.
8) Jimatkan Kandungan Goodies Anda
Goodies bag adalah pemberian ‘cenderamata’ kita sebagai tuan rumah kepada tetamu yang hadir pada majlis kita sebagai tanda terima kasih.
Kita boleh menjimatkan belanja kahwin kita dengan isi kandungan yang perlu sahaja pada goodies bag kita. Isikan makanan ringan yang mempunyai harga berpatutan dan tidak terlalu mahal. Elakkan daripada membazir dengan meletak yang tidak berfaedah di dalam goodies bag anda bagi mengelakkan pembaziran
Bagi yang bakal melangsungkan perkahwinan, fikirlah bajet yang sesuai dengan kemampuan anda. Tidak perlu berhutang piutang dengan bank atau orang lain kerana perkahwinan juga boleh dilangsungkan dengan kos yang tidak terlalul besar.
Lupakan tema yang anda idamkan jika anda kurang mampu membiayainya dan usah hiraukan buah mulut orang mengatakan perkahwinan anda berlangsung secara kecil-kecilan. Jimatkan duit dan gunakan ia untuk kehidupan anda dan pasangan anda selepas berkahwin adalah lebih penting.
Nota Kaki: Jangan lupa SHARE artikel ini ya dengan kawan-kawan anda yang bakal bergelar raja sehari.
No Comment