Ketahui Penyebab & Tanda-Tanda Mata Juling Pada Bayi Anda
Foto: cx.aos
Mata juling adalah ketidakseimbangan otot-otot mata yang menyebabkan sebelah atau kedua-dua belah mata tidak selari. Mata yang tidak melihat dengan baik juga boleh menjadi juling. Ia boleh terjadi sewaktu lahir, ketika kanak-kanak atau dewasa.
Mata juling yang berlaku pada orang dewasa biasanya disebabkan oleh penyakit vaskular seperti kencing manis atau darah tinggi yang menyebabkan gangguan pada sistem saraf mata. Mata juling pada kanak-kanak pula disebabkan oleh kerabunan. Adakalanya kanak-kanak yang menghidap sejenis kanser mata yang boleh menjadikan mata juling.
Punca Mata Juling
- Disebabkan oleh otot-otot mata yang tidak berfungsi dengan baik pada mata yang juling atau kelumpuhan otot-otot mata.
- Rabun dekat boleh menyebabkan mata bergerak ke dalam.
- Mata juling adalah lazim di kalangan kanak-kanak yang mengalami masalah otak seperti down syndrome, cerebral palsy, hydrocephalus dan barah otak.
Kesan Mata Juling
- Mata yang juling boleh menyebabkan tidak dapat melihat dengan sempurna. Jika tidak dirawat dengan cepat, ini boleh mengakibatkan pandangan kabur yang berkekalan. Lebih awal dirawat, lebih besar kebarangkalian untuk pulih.
- Penglihatan 3 dimensi diperlukan untuk menganggar kedalaman dan ketebalan sesuatu objek. Kebolehan ini boleh terjejas jika mata itu juling.
Pencegahan
Kanak-kanak yang mengalami mata juling perlu menjalani pemeriksaan oleh pakar oftalmologi dengan teliti. Adalah sangat penting penyakit mata juling ini dirawat segera. Sistem saraf kanak-kanak terus berkembang di sepanjang tempoh bayi membesar. Tanpa membuat apa-apa dan hanya menunggu sehingga kanak-kanak membesar untuk mendapatkan rawatan akan menyebabkan masalah ini menjadi kekal dan tidak boleh dipulihkan semula.
Rawatan
- Mata juling memerlukan pemeriksaan awal oleh doktor mata.
- Cermin mata mungkin diperlukan untuk penyakit rabun mata seperti rabun dekat.
- Bagi kanak-kanak yang mengalami masalah ambliopia (mata malas), menampal atau menutup mata yang mempunyai penglihatan yang baik boleh membantu memulihkan penglihatan di mata yang juling. Bagaimanapun, rawatan ini tidak akan berjaya jika ia lewat dilakukan. Rawatan perlu dimulakan pada umur yang awal.
- Pembedahah boleh merawat mata juling supaya ia kembali selari. Ia bagaimanapun tidak boleh menggantikan penggunaan cermin mata atau rawatan untuk mata malas. Sewaktu pembedahan, otot-otot mata akan disusun semula. Selepas pembedahan, kanak-kanak biasanya boleh meneruskan aktiviti biasa selepas beberapa hari.
- Suntikan botox kepada otot-otot mata mungkin boleh membantu dalam sesetengah kes, tetapi hanya untuk sementara waktu.
<< Ketahui mengapa terdapat tanda lahir pada bayi di sini.
No Comment