Aduh, Sakitnya Gigi Berlubang!
Sakit gigi memang berjuta rasa. Kalau dah terkena, nak senyum pun rasa tak mampu!
Ramai yang berhadapan dengan masalah ini, tidak kiralah tua mahupun muda tentu pernah merasakan sakit gigi. Ia amat menyeksakan dan sakit gigi boleh mengubah emosi seseorang yang sedang mengalaminya. Ini disebabkan rasa nyilu dan sakit yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata sehingga si penderita lebih suka marah. Sakit gigi juga dapat menyebabkan penyakit lain yang cukup membahayakan kesihatan, seperti penyakit jantung dan strok. Hal ini di kerana tercampurnya bahan makanan dan bakteria yang yang masuk ke dalam tubuh.
Gigi Berlubang
Menurut kajian, sembilan daripada 10 rakyat Malaysia giginya berlubang-lubang. Teruknya! Bagaimana ia boleh berlaku? Kaviti atau lubang pada gigi sangat dipengaruhi oleh gaya hidup, pemakanan seperti makanan dan minuman yang manis dan cara mana kita menjaga kebersihan gigi. Apabila bakteria dan gula bertindak balas di atas permukaan gigi dan kekal di situ,kerosakan boleh berlaku.
Kaviti merupakan salah satu daripada masalah kesihatan paling biasa di dunia. Walaupun ia selalunya berlaku di kalangan kanak-kanak namun orang dewasa dan bayi tidak terkecuali. Jika tidak dirawat, lubang bertambah besar dan kereputan semakin teruk hingga menyebabkan sakit gigi serius, jangkitan, gigi rongak dan lain-lain komplikasi.Oleh sebab itu kita disarankan untuk menggosok gigi sebelum tidur dan sesudah sarapan pagi.
Tanda-Tanda Sakit Gigi Berlubang
- Sakit gigi berdenyut-denyut hingga terjaga dari tidur.
- Gigi sensitif.
- Gigi berlubang.
- Kesakitan yang ringan hingga menusuk apabila makan atau minum sesuatu yang sejuk, panas atau manis.
- Bengkak muka dan kelenjar leher.
- Demam.
- Nanah sekeliling gigi.
Punca Gigi Berlubang
Jika anda tidak memberus gigi selepas makan atau minum, plak akan terbina dan menghakis gigi anda. Sebaliknya, sesetengah makanan yang dianggap penyebab utama kerosakan gigi sebenarnya tidak. Misalnya gula-gula, jeli kacang dan karamel melekit dan manis seperti gula senang disingkirkan oleh air liur berbanding kerepek kentang yang melekat pada gigi.
- Makanan dan minuman tertentu seperti gula dan kanji hampir masak merupakan punca terbesar gigi berlubang. Contohnya, susu, madu, gula, soda, kismis, kek, gula-gula keras, pudina pernafasan, buah-buahan kering, biskut, bijirin kering, roti dan kerepek kentang.
- Kerap mengudap atau menghirup sesuatu seperti soda, memberikan asid lebih masa untuk menyerang gigi.
- Minum air botol atau air ditapis yang tidak mengandungi fluorida.
- Mulut kering. Air liur memainkan peranan penting untuk mencegah gigi mereput kerana ia menyahkan makanan dan plak.
- Tampalan gigi yang bertambah lemah selepas beberapa tahun mungkin tertanggal atau menyebabkan sisinya menjadi kasar lalu membentuk plak.
- Gusi yang menyusut memberikan ruang kepada plak terbentuk pada akar gigi.Gangguan pemakanan seperti anoreksia dan bulimia boleh mencetuskan kaviti dan hakisan gigi ketara hasil asid perut daripada muntah.
- Pedih ulu hati menyebabkan asid perut mengalir keluar memasuki mulut.
- Rawatan kanser tertentu seperti radiasi kepala dan leher.
Rawatan Gigi Berlubang
1. Rawatan fluorida
Mineral dalam bentuk cecair, gel, busa, varnis atau tablet yang diberus ke gigi atau ditempatkan di dalam bekas yang dimuatkan pada gigi ini berupaya meningkatkan ketahanan gigi daripada menjadi reput.
2. Tampalan
Mengisikan bahan yang tersedia khas ke dalam gigi berlubang yang telah siap dikorek oleh doktor gigi. Ia merupakan pilihan rawatan utama apabila kereputan telah berkembang melebihi proses penghakisan enamel awal.
3. Korona/crown
Pemulihan pergigian yang menutup kebanyakan atau semua korona semulajadi, bagi kes kereputan meluas.
4.Saluran/kanal akar
Apabila kereputan sudah teruk dan sampai ke dalaman gigi, pulpa gigi akan dikeluarkan dan digantikan dengan tampalan. Gigi yang reput teruk mungkin terpaksa dicabut keluar sepenuhnya.
Cara Untuk Mencegah Gigi Berlubang
- Berus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari selepas makan dan sebelum tidur dan juga berkumurlah selepas makan minum. Gunakan serat gigi/floss untuk membersihkan celahannya.
- Lakukan pemeriksaan dan pembersihan gigi profesional secara berkala.
- Elakkan terlalu kerap mengudap dan menghirup sesuatu.
- Hindari makanan yang boleh terperangkap di alur dan lubang gigi untuk jangka masa panjang. Contohnya, kerepek, gula-gula atau biskut. Sebaliknya, makan makanan yang mampu memberikan perlindungan kepada gigi seperti keju yang membantu mencegah kaviti.
- Memakai bahan pengetat penutup rekahan pada permukaan gigi
Petua Tradisional Menangani Sakit Gigi Berlubang:
Berikut terdapat beberapa petua yang anda boleh amalkan untuk merawat sakit gigi berlubang:
Petua 1
Campurkan sedikit cuka dalam segelas air suam. Kemudian kumur menggunakan air ini. Amalkan tiga kali sehari sehingga rasa sakit hilang.
Petua 2
Kunyah sedikit kapur sirih pada gigi yang sakit sehingga lumat. Amalkan sehingga rasa sakit gigi hilang.
Petua 3
Ambil 8 biji buah belimbing buluh dan makan dengan sedikit garam. Anda juga boleh tumbuk lumat buah belimbing buluh dan masukkan ke bahagian gigi anda yang berlubang. Ia akan meredakan sakit gigi berlubang.
Petua 4
Tumbuk bunga cengkih dan isikan ke dalam lubang gigi dan tutup dengan kapas.
Petua 5
Untuk gigi berlubang, ambil getah pada tampuk buah betik muda dan sapukan pada gigi yang sakit dengan putik kapas.
Petua 6
Untuk gigi geraham berlubang, tumbuk seulas bawang putih hingga lumat dan masukkan sedikit cuka. Masukkan bahan tadi ke dalam lubang gigi.
Petua 7
Goreng asam jawa beberapa minit. Kemudian bakar sedikit garam kasar ke dalam daun pisang. Tumbuk kedua-dua bahan ini sehingga halus. Kemudian tampalkan pada gigi yang sakit.
Petua 8
Ambil sebiji bawang merah dan kupaskan kulitnya. Panggang bawang merah tersebut sehingga berwarna kehitaman. Semasa bawang merah masih panas, letakkan pada gigi berlubang dan gigit.
Kesimpulan
Gigi berlubang tidak dapat sembuh dengan sendirinya. Mungkin rasa sakit akan menghilang seketika, tetapi hakikatnya gigi tetap berlubang. Bahkan lubangnya akan terus semakin membesar. Sekiranya sakit gigi anda masih melarat, silalah berjumpa doktor gigi untuk dapatkan rawatan yang selanjutnya.
Kredit foto: meetdoctor
No Comment