Penyakit Kanser – Pengesanan Dan Rawatan Awal Menyelamatkan Nyawa Anda
Kaum wanita dinasihatkan agar pantas bertindak apabila mengalami simptom penyakit kanser ginekologi.
Kanser ginekologi – atau kanser yang menjejaskan sistem peranakan wanita – merupakan kanser paling kerap dikesan di kalangan kaum wanita di Malaysia, terutamanya penyakit kanser ovari,kanser serviks dan kanser rahim.Statistik Globocan 2012 menunjukkan bahawa kanser serviks masih merupakan kanser kedua paling kerap dikesan di kalangan kaum wanita di Malaysia dan merupakan sebab kematian keempat terbesar untuk wanita berusia antara 15 dan 44. Kanser ovari pula merupakan kanser kelima paling kerap dikesan di kalangan wanita Malaysia.
Setiap tahun, beribu kes ginekologi baharu dikesan. Walau bagaimanapun, wanita Malaysia masih didapati gagal mendapatkan bantuan secara pantas. Tahap kesedaran juga masih perlu dipertingkatkan. Walaupun kaum wanita selalu dihantui kerisauan bahawa mereka mungkin menghidapi penyakit kanser, pada masa yang sama mereka sering menafikan penyakit tersebut dengan penuh harapan, sehingga simptom mereka bertambah teruk.Kadangkala, penghidap kanser masih gagal bertindak cepat walaupun setelah kanser disahkan, di mana pesakit lambat membuat keputusan untuk menjalani rawatan kerana bimbang mengenai kesan sampingan. Adalah penting supaya pesakit mengetahui bahawa banyak kanser ginekologi berkemungkinan tinggi diubati jika penyakit itu dikesan dan dirawat pada peringkat awal.Pesakit harus mengadakan perbincangan terbuka dengan doktor dan pasukan perubatan mengenai sebarang kebimbangan berkenaan diagnosis atau rawatan supaya sebarang kebimbangan boleh ditangani dengan betul dan pesakit boleh bermula menjalani rawatan secepat mungkin.]
Kanser Ginekologi Yang Kerap Berlaku
Kanser ovari merujuk kepada kanser yang berasal daripada sel ovari. Lazimnya, tumor bermula dari epithelium (sel di selaput ovari), termasuk kanser epithelial ovari (daripada sel pada permukaan ovari), tiub fallopian, dan peritoneal asas (lapisan di dalam abdomen yang meliputi banyak struktur di bahagian abdomen). Semua ini dianggap proses penyakit yang sama.Kanser rahim adalah kanser yang berkembang di dalam rahim, di mana kanser rahim yang paling kerap berlaku bermula daripada endometrium (lapisan dalaman rahim).Kanser serviks pula berlaku apabila sel tidak normal dalam serviks tumbuh secara tidak terkawal. Serviks adalah bahagian sebelah bawah rahim yang bersambung dengan faraj. Kanser serviks adalah ssatu kanser wanita yang paling kerap berlaku di seluruh dunia.
Mengenali tanda dan simptom kanser ginekologi Malangnya, tanda dan simptom awal untuk setengah jenis kanser sering tidak jelas dan tidak spesifik. Contohnya, peringkat awal kanser ovari sering tidak menunjukkan sebarang simptom, manakala kanser ovari yang sudah tenat mungkin menampilkan simptom tidak spesifik yang menyerupai keadaan tidak merbahaya. Tanda dan simptom kanser ovari termasuk kembung atau senat perut, mudah kenyang apabila makan, penurunan berat badan, ketidakselesaan di bahagian pelvis (tulang punggung), dan perubahan dalam pembuangan air besar dan kerap kencing. Untuk kanser rahim, simptom paling lazim ialah pendarahan faraj yang tidak normal. Kebanyakan wanita yang mengidapi kanser ini adalah pasca-putus haid, oleh itu sebarang pendarahan dari faraj adalah tidak normal. Simptom untuk wanita lebih muda termasuk pendarahan haid yang lebih daripada biasa atau pendarahan di luar kitaran haid, di samping sakit di bahagian bawah abdomen dan kesakitan ketika persetubuhan.
Kanser rahim yang tenat mungkin menyebabkan sakit di bahagian belakang, kaki, atau pelvis, kehilangan selera makan dan mual. Kanser serviks yang awal dan pra-kanser biasanya tidak menunjukkan sebarang simptom.Apabila kanser menjadi semakin teruk, pesakit mungkin menghadapi pendarahan faraj tidak normal, lelehan cecair dari faraj yang tidak normal, dan kesakitan ketika persetubuhan.
Memahami Risiko
Risiko untuk mengalami kanser ovari meningkat dengan peningkatan usia, terutamanya untuk wanita berusia lima puluh tahun ke atas. Tambahan pula, wanita dengan saudara terdekat (ibu, anak perempuan atau kakak/adik perempuan) yang mengidap kanser ovari adalah tiga kali lebih berisiko mengidap kanser ini. Risikonya meningkat apabila dua atau lebih saudara terdekat mengidap kanser ovari. 10 hingga 15% kanser ovari adalah disebabkan mutasi genetik, seperti gen BRCA1 atau BRCA2. Mutasi ini juga meningkatkan risiko mengidap kanser tiub fallopian dan peritoneal asas (lapisan mukosa yang meliputi bahagian dalam abdomen), di mana kedua-duanya ada persamaan dengan kanser ovari.
Terdapat juga keadaan genetik lain yang dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser ovari yang anda boleh bincangkan bersama doktor. Risiko lain termasuk didiagnosa dengan kanser payudara, walaupun tanpa mutasi gen BRCA, tidak pernah melahirkan anak, mandul tanpa sebab, tidak pernah mengambil ubat perancang kehamilan, melahirkan anak pada usia tua, permulaan haid pada usia awal, putus haid lewat, mengambil ubat terapi penggantian hormon (HRT) jenis estrogen sahaja selepas putus haid dan obes pada usia 20-an.
Risiko untuk kanser rahim masih tidak jelas. Walau bagaimanapun, faktor yang mungkin menjadi pencetus, ada di antaranya yang serupa dengan kanser ovari, termasuk usia melebihi 50 tahun, obes, mengambil ubat terapi penggantian hormon (HRT) jenis estrogen sahaja selepas putus haid, masalah mengandung, mengalami kurang daripada lima kali haid dalam setahun sebelum putus haid, mengambil tamoxifen (ubat untuk merawat beberapa jenis kanser payudara), dan mempunyai saudara terdekat yang mengidap kanser rahim, kolon atau ovari.
Untuk kanser serviks, risiko termasuk jangkitan virus papilloma manusia (HPV), sistem imun yang lemah, mengalami herpes bahagian sulit, merokok, berusia antara lewat belasan dan pertengahan 30-an tahun walaupun wanita berusia 40 ke atas juga berisko dan harus menjalani saringan kanser serviks secara tetap, dan pendedahan kepada bahan kimia diethylstilbestrol (DES).
Menangani Risiko
Saringan kesihatan wanita yang tetap boleh mengesan kanser ovari pada peringkat awal. Semasa pemeriksaan pelvis, pakar perubatan akan merasa saiz, bentuk dan keserasian ovari dan rahim. Pemeriksaan pelvis adalah bermanfaat kerana ia boleh mengesan beberapa kanser sistem peranakan pada peringkat awal, tetapi kebanyakan tumor ovari peringkat awal tidak dapat atau tidak mungkin dikesan walaupun oleh pakar yang paling arif.Walau bagaimanapun, pemeriksaan pelvis boleh membantu mengesan kanser atau keadaan ginekologi yang lain. Walaupun cara menghindari kanser rahim masih belum diketahui, risiko mengidap kanser rahim mungkin boleh dikurangkan dengan mengekalkan berat badan yang sihat, bersenam dengan kerap, dan mengambil progesterone di samping estrogen untuk Terapi Penggantian Hormon.
Wanita perlu menjalankan ujian Pap secara tetap kerana ia adalah cara paling efektif untuk mengesan kanser serviks sebelum ia menjadi teruk. Tanda awal kanser serviks boleh dikenalpasti melalui perubahan yang dikesan menggunakan ujian Pap.Ujian Pap adalah ujian tetap yang mengesan perubahan pra-kanser dan kanser pada sel serviks. Jika keadaan yang tidak normal dikesan, tindakan awal boleh dijalankan untuk menghapuskan sel tersebut dan mengelakkan sel kanser daripada merebak. Wanita yang berusia 21 tahun ke atas harus berbincang mengenai keperluan ujian Pap dengan doktor, bergantung kepada usia dan keadaan kesihatan.
Diagnosa Dan Rawatan
Ujian pengesahan untuk kanser ovari mungkin termasuk imbasan ultra bunyi, pemeriksaan darah, imbasan CT, X-ray barium enema, kolonoskopi, MRI dan X-ray dada berdasarkan hasil penemuan doktor. Doktor perlu menjalani pembedahan kecil pada abdomen (laparotomi pencarian) untuk mengesahkan atau mengetepikan diagnosa kanser ovari. Pembedahan adalah rawatan lazim untuk kanser ovari. Pada umumnya, kedua ovari dan organ peranakan yang lain akan dikeluarkan, tetapi bagi wanita lebih muda dengan tumor kecil dalam satu ovari sahaja dan yang mungkin masih ingin melahirkan anak boleh mengeluarkan ovari yang mengalami kanser itu sahaja. Bagi kebanyakan wanita dengan keadaan kanser yang tenat, masih terdapat sel kanser di dalam tubuh walaupun selepas pembedahan.
Kebanyakan wanita perlu menjalani terapi kemo yang akan memanjangkan hayat dan mungkin boleh menyembuhkan kanser itu sepenuhnya. Terapi radiasi juga boleh digunakan untuk melegakan simptom dalam sesetengah pesakit dengan keadaan kanser yang tenat. Walaupun tiada sel kanser dikesan selepas rawatan dijalankan, pemeriksaan susulan harus dilakukan.Pilihan untuk mendiagnosa kanser rahim dilakukan oleh doktor berdasarkan usia dan keadaan kesihatan pesakit, jenis kanser yang disyaki, tanda dan simptom dan keputusan ujian. Ia termasuk pemeriksaan pelvis, imbasan ultra bunyi transfaraj, imbasan computed tomografi (CT atau CAT), imbasan pantulan magnetik (MRI) dan biopsi.
Kanser rahim dirawat dengan satu atau beberapa jenis rawatan, termasuk pembedahan, terapi radiasi, terapi kemo dan rawatan hormon. Jenis rawatan dan pengesyoran doktor bergantung kepada beberapa faktor, termasuk jenis dan tahap kanser, kesan sampingan yang mungkin dialami, dan keadaan kesihatan, usia dan pilihan peribadi pesakit, termasuk sama ada dan bagaimanan rawatan itu bakal menjejaskan kebolehannya mengandung.Jika doktor mengesyaki bahawa seseorang pesakit mengidapi kanser serviks, dia akan mendapatkan sejarah perubatan pesakit dan menjalankan pemeriksaan fizikal termasuk pemeriksaan pelvis dan ujian Pap.
Ujian untuk mengesahkan diagnosa kanser serviks termasuk biopsi, manakala ujian untuk mengesahkan peringkat dan rawatan untuk kanser serviks termasuk x-ray dada, imbasan CT, MRI, imbasan PET dan biopsi. Kanser serviks yang dikesan pada peringkat awal boleh dirawat dengan berkesan. Pilihan dan keberkesanan rawatan bergantung kepada jenis dan peringkat kanser. Umur, kesihatan keseluruhan, mutu kehidupan, dan keinginan mengandung pesakit juga perlu dipertimbangkan. Pilihan rawatan termasuk pembedahan, terapi radiasi, rawatan radiasi kemo dan terapi kemo.
Kebimbangan Lazim
Disebabkan kanser ginekologi menjejaskan kesuburan seseorang wanita, wanita yang masih belum putus haid sering bertanya sama ada kanser tersebut bermakna berakhirnya zaman kesuburan mereka. Ini bergantung kepada setiap pesakit dan perlu dibincangkan bersama doktor. Perubatan kesuburan turut berkembang pesat kebelakangan ini dan kaum wanita kini masih mempunyai harapan mendapatkan anak melalui Terapi Kesuburan Dibantu. Tambahan lagi, kesan daripada minat dunia selebriti, sesetengah wanita kini juga mungkin mempunyai soalan berkenaan ujian genetik dan pembedahan pencegahan, seperti yang dilakukan oleh Angelina Jolie.
Kesimpulannya, bidang perubatan dan penjagaan kesihatan adalah proses peribadi yang harus diperbincangkan bersama doktor masing-masing. Kaum wanita dan ahli keluarga mereka tidak harus takut berjumpa doktor kerana doktor sebenarnya ingin membantu mereka secara ikhlas.
Terima Kasih: Dr Christina Lai Nye Bing, Pakar Onkologi Klinikal, Pusat Perubatan Sunway
<< Ketahui cara terbaik menjaga payudara di sini.
Kredit : halfmanhalfgreek
No Comment