Penyebab Telinga Selalu Berdengung
Tiada siapa pun yang selesa dengan telinga berdengung. Mengapakah anda mengalami keadaan sedemikian?
Telinga berdengung atau lebih dikenali sebagai “tinnitus” adalah keadaan di mana seseorang mendengar bunyi berdengung di dalam kepala tanpa ada sebarang punca bunyi disekelilingnya.
Bunyi ini sering dikaitkan dengan bunyi seperti berdesing, bunyi mengaum, bersiul dalam nada yang tinggi, bunyi seperti cengkerik, bunyi berdetik ataupun bunyi degupan jantung.
- Jenis tinnitus lain termasuk pulsatile tinnitus iaitu berdetik atau bernadi (bunyi menyusul selepas degupan jantung seseorang).
- Jenis tinnitus paling biasa dikenali sebagai tinnitus subjektif, bermaksud anda terdengar sesuatu bunyi tetapi ia tidak boleh didengar orang lain.
- Jenis lebih jarang berlaku dipanggil tinnitus objektif, bermakna doktor adakalanya boleh terdengar bunyi tinnitus itu apabila mendengar dengan teliti.
Ia mungkin melibatkan satu atau kedua-dua telinga. Tinnitus mungkin merupakan gejala penyakit yang menggugat tahap kesihatan seseorang.Dengan erti kata lain, kualiti hidup boleh terjejas akibat masalah ini. Kadar masalah tinnitus ini adalah tinggi pada usia 40 hingga 70 tahun dan ia lebih banyak terjadi kepada kaum lelaki.
Tinnitus bukanlah sejenis penyakit tetapi ia adalah geala penyakit. Ia boleh melibatkan satu atau kedua dua telinga. Gejala tinnitus ini mungkin berlaku dalam masa yang singkat atau berulang-ulang.
Gejala Yang Berkaitan:
- kurang pendengaran.
- sakit kepala.
- pening kepala (vertigo).
Terdapat beberapa punca yang dikenalpasti menyebabkan masalah ini. Antaranya ialah:
- Saluran darah tidak normal.
- Saluran eustachian yang gagal berfungsi iaitu saluran yang menghubungkan hidung ke bahagian tengah telinga untuk mengimbangkan tekanan.
- Masalah telinga seperti tahi telinga keras dan tersumbat, jangkitan bahagian tengah telinga yang kronik, otosclerosis, presbyacusis iaitu masalah pendengaran yang disebabkan oleh faktor usia, masalah pendengaran yang disebabkan oleh bunyi bising.
- Kecederaan kepala.
- Pendedahan telinga kepada bunyi bising yang kuat.
- Ubat ubatan seperti ubat penahan sakit atau antibiotik.
- Tumor dalam telinga di bahagian acoustic neuroma.
- Faktor psikologi seperti kemurungan, tertekan dan keresahan.
- Tekanan darah tinggi dan atherosclerosis.
- Angin ahmar.
- Kekurangan sel darah merah serta buah pinggang yang tidak berfungsi.
Take Note!
Jika anda mengalami gejala seperti di bawah, awas anda memerlukan perhatian serius.
- Tinnitus yang berterusan mungkin tanda-tanda awal tumor di dalam telinga atau otak.
- Tinnitus yang bunyinya seperti denyutan jantung di sebelah telinga mungkin tanda awal penyakit yang serius .
- Tinnitus yang bertambah teruk atau disertai oleh gejala-gejala lain.
Seseorang yang mengalami masalah tinnitus yang teruk mungkin menghadapi masalah pendengaran, kerja dan tidur. Mereka juga akan menghadapi masalah psikologi yang serius.
Rawatan sebenar bagi masalah tinnitus tidak dapat dikenalpasti sepenuhnya. Masalah telinga dan masalah perubatan lain harus diberikan rawatan sewajarnya dengan ubat atau pembedahan.
- Ubat-ubatan yang didapati berkesan dalam rawatan tinnitus adalah ubat yang digunakan untuk menghilangkan keresahan, ubat penenang serta ubat yang dapat memperbaiki kualiti tidur.
- “Masking”.
- Alat bantu dengar untuk sesiapa yang mempunyai masalah pendengaran.
- – Tinnitus “masker” untuk sesiapa yang mempunyai masalah pendengaran atau pendengaran yang normal.
- – Alat tinnitus atau kombinasi alat-alat di atas.
Rawatan ini diberikan oleh pakar pemulihan pendengaran iaitu audiologist.
- Pembedahan tidak dapat membantu menghilangkan tinnitus melainkan dalam kes tumor di telinga
Langkah Pencegahan
- Bunyi yang lembut boleh mengurangkan tinnitus. Pesakit boleh mendengar bunyi tersebut untuk beberapa jam sehinggalah terlelap.
- Elakkan pengambilan kopi, teh, coklat, cola, alkohol, atau produk yang mengandungi kafein
- Elakkan merokok
- Elakkan ubat ubatan yang boleh menyebabkan tinnitus seperti aspirin atau NSAIDs.
- Elakkan mengambil ubat yang boleh menyebabkan kerosakan pada sistem pendengaran kecuali jika terpaksa atau tidak ada alternatif lain.
- Jangan dedahkan diri kepada bunyi bising.
- Tekanan perasaan didapati boleh menyebabkan pertambahan bunyi tinnitus. Oleh itu cuba kawal perasaan anda, cara ini mungkin boleh membantu.
Kesimpulan
Keadaan ini bergantung kepada jenis tinnitus, gejala akan cenderung datang dan pergi dari semasa ke semasa. Tahap tekanan, diet, dan pendedahan kepada bunyi bising boleh memburukkan lagi tinnitus.
Kredit foto: entcare.files.
<< Ketahui risiko jika air ketuban kurang di sini.
1 Comment
Info yang menarik mengenai tips rawatan telinga berdesing. Bagi tinnitus yang berlaku secara kronik, pesakit elok juga mendapatkan nasihat daripada doktor pakar untuk menyaring kemungkinan berlakunya masalah telinga atau sistem saraf pusat yang serius.