Dilema WanitaRomantika

Kesal Ditangkap Khalwat Dengan Suami Orang

tangkap khalwat - women online magazine

Kredit Foto: thisjourneyismyown

Tangkap Khalwat.Wanita berusia 30 tahun ini mahu dirinya dikenali dengan nama Zatira. Sudah hampir tiga tahun dia melalui kehidupan bergelar janda.

Dia diceraikan dengan talak tiga oleh Nasir, bekas suaminya setelah rahsia kecurangannya bermain kayu tiga terbongkar. Namun, semua itu cerita lama. Zatira hari ini sudah jauh berubah. Dia menyesal atas perbuatan keji masa silamnya itu dan meminta masyarakat agar tidak terus menghukumnya. Sebaliknya mendoakan kebaikan buat dirinya yang telah insaf ini. Ikuti kisah luka Zatira bersama WOM.my

“Keasyikkan membelai cinta bersama lelaki bernama Hanif membuatkan aku lupa segala-galanya, termasuk soal menjaga maruah sebagai isteri kepada Nasir, seorang lelaki yang amat aku cintai suatu ketika dahulu. Disebabkan gelodak nafsu dan cinta terhadap lelaki bernama Hanif juga aku seakan sudah lupa soal halal, haram, dosa dan pahala. Bahkan, untuk Hanif aku  juga sanggup menuruti apa sahaja kemahuan lelaki itu sehingga tanpa aku sedari perbuatan tersebut telah mengundang padah.

 

Bila Suami Berubah Sikap

Sebenarnya di awal perkahwinan aku dengan Nasir, kami amat bahagia. Tetapi semua itu berubah setelah dua tahun usia perkahwinan kami, setelah aku mengalami keguguran. Sikap Nasir mula berubah, dia lebih suka mendiamkan diri dan hari demi hari hubungan kami suami isteri menjadi semakin dingin.

Di celah kekosongan hati itulah aku berkawan rapat dengan Hanif, rakan sepejabat. Sikapnya yang penuh perhatian,bertanggungjawab dan penyayang membuatkan aku senang mendampinginya.Mulanya kami sekadar berkawan biasa, namun setelah lebih lima bulan bersama, perasaan aku terhadapnya mula rasa lain.

Entah mengapa apabila Hanif mengatakan mahu menjalinkan hubungan yang lebih serius, hati aku seakan tidak mampu untuk menolaknya. Apatah lagi, apabila mengenangkan hubungan aku dengan Nasir yang semakin hambar. Kembali menempuh alam cinta, segala-galanya terasa cukup indah. Siang malam aku asyik terbayangkan wajah Hanif sahaja.

 

Mula Curang

Memang rasa serba tak kena jika sehari tidak bersua muka serta mendengar suaranya. Saat itu dapat aku rasakan betapa kuatnya cinta aku terhadap Hanif.Kehadiran Hanif membuatkan aku jadi semakin bersemangat untuk meneruskan kehidupan. Apatah lagi, Hanif sendiri memberitahu aku bahawa hubungannya dengan isterinya sudah berakhir. Jadi, tidak tidak kisah untuk memperisterikan aku jika Nasir sedia untuk melepaskan aku nanti.

Setiap kali kami bertemu secara ‘sembunyi-sembunyi’ selepas waktu kerja, Hanif tidak pernah lupa untuk memberikan aku kata-kata semangat. Sepanjang kami keluar bersama, Hanif juga tidak pernah pula cuba melakukan perkara yang tidak baik.  Namun, aku akui banyak risikonya apabila keluar berdua-duan begini. Apabila iman sudah digelapkan oleh nafsu, tiada siapa yang dapat melawannya. Begitulah yang aku alami apabila pada suatu malam sewaktu berkunjung ke rumah sewa Hanif.

 

Dibuai Nafsu

Mulanya aku memang tidak melayan ayat-ayat manis Hanif kerana masih diselubungi rasa bersalah terhadap Nasir yang sudah dua bulan bertugas di luar daerah.Tetapi, apabila Hanif tidak jemu-jemu berusaha membuktikan betapa dia amat mencintai aku, akhirnya aku kecundang juga dalam pelukannya. Saat itu, aku benar-benar termakan kata-kata cintanya dan disebabkan kebodohan  itulah aku masih terus melayan keinginannya walaupun aku mula menyedari bahawa perbuatan aku itu salah dan berdosa.

Seminggu sebelum hubungan kami dihidu oleh pihak JAIS, aku memang sudah berasa tak sedap hati. Aku pernah melahirkan kebimbangan tersebut kepada Hanif, namun dia sentiasa menyakinkan aku bahawa kawasan perumahannya itu selamat. Tapi, itulah yang dinamakan sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.

Sewaktu tanggapan dibuat, sekitar jam 1.00 pagi memang hanya aku dan Hanif sahaja berada di rumah tersebut. Ketukan keras dan bertalu-talu membuatkan aku dan Hanif yang pada ketika itu senang lena diulit mimpi terus tersentak. Ketika itu, hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan aku, seakan mahu tercabut nyawa ini apabila melihat wajah bengis pegawai JAIS yang sudah berada di dalam rumah setelah hampir setengah jam mengetuk pintu. Terasa begitu aib sekali dan setelah di soal siasat oleh pegawai JAIS, terbukti kami memang bersalah dan telahpun menerima hukuman yang sewajarnya.

 

Hancur Terlerai

Kejadian tersebut memberikan tamparan yang cukup hebat dalam karier dan juga kehidupan rumahtangga aku dan Nasir. Sekelip mata semuanya hancur terlerai. Sebaik sahaja mengetahui berita tersebut, Nasir seperti orang hilang pedoman. Mungkin dia terlalu kecewa dengan apa yang telah aku lakukan, jadi sebab itulah Nasir tidak teragak-agak untuk menceraikan aku dengan talak tiga! Memang perit untuk menerima kenyataan tersebut, namun itu hakikat yang terpaksa aku terima di atas setiap perbuatan kejam aku terhadap dirinya.

Berita hangat aku dicekup oleh pegawai JAIS turut tersebar di kalangan rakan-rakan sepejabat dan juga saudara mara.  Aku cuba bertahan, namun tidak mampu dan berasa amat tetekan sekali. Hubungan aku dengan Hanif juga semakin buruk, apatah lagi setelah aku mengetahui bahawa Hanif sebenarnya penipu besar. Dia masih lagi bergelar suami orang dan bapa kepada tiga orang anak  yang masih kecil. Aku benar-benar kecewa dengan sikap Hanif, mudahnya dia membuang cinta dan kasih sayang kami selama ini.

 

Terlalu Kecewa

Disebabkan sudah tidak tahan dengan situasi tersebut, aku mengambil keputusan untuk membawa diri ke Utara tanah air. Biarlah sejarah hitam ini berlalu pergi. Jauh di sudut hati kecil ini, aku sebenarnya masih menyayangi bekas suami dan berharap agar dia sudi memaafkan segala apa yang telah aku lakukan padanya.

Satu pesanan buat semua pembaca WOM.my janganlah kalian menyakiti hati pasangan anda sepertimana yang telah aku lakukan ini. Syurga kita sebagai wanita memang di kaki seorang ibu, namun setelah kita berkahwin segalanya di kaki suami! Untuk para suami pula, tolonglah cuba selami hati isteri anda.

Jangan biarkan jiwa mereka kosong, tanpa kasih sayang dan perhatian anda.Penuhi hari-hari anda berdua dengan cinta dan kasih sayang serta sama-sama dekatkan diri dengan Allah. InsyaAllah, rumahtangga anda akan kekal buat selamanya. Untuk hidup ini, aku tidak mengharapkan apa-apa lagi, melainkan semoga taubatku ini diterima Allah.”

 

<< Baca luahan hati Lyana yang terpaksa menempuh kehidupan ‘malam' hanya kerana desakan hidup di sini.

NOTA KAKI!

Itulah cebisan kisah wanita bernama Zatira kepada WOM.my. Jika ada di antara pembaca yang sudi memberikan nasihat buat Zatira, sila tinggalkan komen anda. Mudah-mudahan nasihat serta pandangan anda itu boleh memberikan semangat buat Zatira dalam meneruskan kehidupannya.

Previous post

11 Tips Pilih Kasut Sukan

Next post

4 Destinasi Bulan Madu Paling Jimat Dan Best Di Malaysia

Team WOM.my

Team WOM.my

Women Online Magazine dibina sebagai satu platform bagi kaum Wanita untuk rujukan dalam menjalani kehidupan semasa dengan lebih berjaya dan teratur dari pelbagai aspek. >> Klik sini untuk baca post terkini daripada Team Wom.my

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *