Resepi Gulai Kawah
Masakan Gulai Kawah cukup popular di negeri Kelantan. Di sana Gulai Kawah juga dipanggil Gulai Darat.
Bagi yang belum tahu, ingin mencuba dan merasai sendiri kelazatan Gulai Kawah, Chef WOM.my sedia membantu. Resepi mudah ini tetap mengekalkan kepekatan serta kepedasan kuah karinya. Apa yang pasti, Gulai Kawah ini bakal merangsang selera makan anda.
Berikut Resepi Gulai Kawah
Bahan-bahan yang diperlukan:
1 kg daging lembu cincang (lagi bagus jika ada lemak-lemaknya) – direbus sehingga empuk
½ kg tulang rusuk lembu – direbus sehingga empuk
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
4 biji buah pelaga
1 batang serai – ketuk-ketuk
1 helai daun pandan
1 cm halia – dikisar
1 cm kunyit hidup – dikisar
4 biji bawang besar- dikisar
2 biji bawang putih – dikisar
5 sudu besar cili kering yang sudah dikisar
1 biji kelapa – ambil santannya 2 cawan
2 paket serbuk rempah kari/rempah gulai (ikut kegemaran anda – boleh dicampur-campur- dibancuh dengan sedikit air)
2 sudu besar air asam jawa.
garam, gula dan serbuk perasa secukupnya.
10 helai daun kari
Nota Kaki: Disebabkan resepi ini, Resepi Gulai Kawah, wajarlah anda memasaknya dengan menggunakan kawah. Tapi, kalau dah tak ada, guna sahaja kuali yang agak besar untuk mendapatkan aura keenakkan masakan ini.
Cara Membuatnya:
1.Ketepikan daging yang sudah empuk direbus. Toskan dan asingkan rebusan.
2.Panaskan minyak dalam kawah atau kuali besar, tumis bunga lawang, kulit kayu manis, buah pelaga sehingga naik bau.
3.Kemudian masukkan bahan-bahan yang sudah dikisar seperti bawang besar, bawang putih, halia dan kunyit hidup.
4. Kacau sehingga naik bau dan kemudian masukkan cili kering yang sudah dikisar.
5. Kacau sehingga sebati, naik bau. Kemudian masukkan pula rempah kari/gulai yang sudah dibancuh dengan sedikit air.
6. Masukkan serai dan daun pandan serta daging cincang berserta tulangnya.
7. Gaul rata agar rempahnya meresap ke dalam daging.
8. Biar sampai naik minyak, dan kemudian masukkan air rebusan daging.
9. Didihkan sampai rempah, daging serta tulang bersatu rasa.
10. Apabila kuah sudah surut, masukkan santan dan kacau dan biarkan ia kembali mendidih.
11. Masukkan garam, gula dan serbuk perasa secukupnya serta daun kari serta air asam jawa.
13. Jika sudah cukup rasanya, boleh tutup api dan dihidangkan.
Kredit foto: azmanisma
<< Dapatkan resepi ikan keli penyet di sini.
No Comment