7 Kuih Muih Bulan Puasa Sedap, Anda Mesti Cuba!
Apabila tiba sahaja bulan Ramadhan, bazar Ramadhan merupakan syurga makanan yang ditunggu setiap setahun sekali. Beraneka menu makanan yang terdapat di bazar Ramadhan yang mampu membuatkan anda rambang mata untuk membelinya. Bukan sahaja terdapat lauk-pauk dan air minuman, malah pelbagai jenis kuih-muih dan manisan tidak kira tradisional mahupun moden turut dijual di bazar ramadhan.
Jika anda sedang mencari kuih muih di bulan puasa, admin cadangkan anda untuk beli 7 jenis kuih muih ini. Tapi jangan beli sikit. Sebab apa? Sekali anda makan, pasti nak lagi dan nak lagi,ishh boleh ketagih lah orang kata. Tapi, janganlah sampai membazir pula. Membazir itukan amalan syaitan. Jadi belilah ikut kadar kemampuan anda untuk makan ketika berbuka puasa.
Berikut adalah beberapa jenis kuih muih bulan puasa yang wajib dibeli oleh orang ramai jika ke bazar Ramadhan. Antaranya adalah :
1) KUIH AKOK
Kuih akok merupakan kuih yang sangat popular di pantai timur terutamanya di Terengganu dan Kelantan. Kuih akok juga merupakan salah satu kuih wajib dicari di bazar apabila tiba bulan Ramadhan.
Nampak luaran macam biasa sahaja tapi sekali rasa pasti hendak lagi kerana rasanya yang sedap dan lembut malah kalau lambat ke bazar pasti kuih ini paling cepat habis. Jika anda belum mencubanya, inilah masa paling sesuai untuk anda merasainya sendiri.
2) KUIH TEPUNG PELITA
Apabila tiba sahaja bulan Ramadhan, kuih tepung pelita merupakan kuih yang paling tidak dilupakan. Tepung Pelita merupakan salah satu kuih tradisional yang menjadi kegemaran orang ramai. Tekstur tepung pelita yang lembut dan cair di mulut setiap kali anda makan menjadikan kuih tepung pelita ini antara pencuci mulut yang terbaik ketika berbuka puasa.
Kuih tepung pelita ini terdiri daripada dua bahagian, iaitu bahagian atas yang lembut berwarna putih dan dibuat daripada santan serta bahagian bawahnya pula dibuat daripada tepung beras dan daun pandan yang menghasilkan warna hijau dan rasa pandan asli dan lebih keras sedikit daripada bahagian atas tetapi masih lembut dan cair apabila dimakan.
Anda wajib cuba sekali jika anda belum pernah makan. Sekali ianya cair dimulut, pasti kuih ini akan menjadi kuih kegemaran yang dicari setiap kali bulan ramadhan.
3) MURTABAK
Murtabak merupakan kuih yang sangat sinonim pada bulan ramadhan. Anda pergilah berapa banyak bazar ramadhan sekali pun, murtabak antara kuih yang akan anda lihat ramai orang beratur untuk membelinya. Ianya menjadi kuih wajib setiap kali bulan ramadhan. Ini kerana ianya antara makanan yang mudah tapi sedap dan mampu mengenyangkan.
Bukan sahaja dapat dijumpai di bazar ramadhan, pada bulan biasa juga ada dijual di pasar malam. Namun ianya sangat popular pada bulan ramadhan. Murtabak kebiasaannya dijadikan juadah sebagai pembuka selera sebelum menjamu makanan berat ketika berbuka puasa.
Jika anda ingin cuba sendiri buat resepi Murtabak, sila klik perkongsian kami sebelum ini mengenai Resepi Murtabak Maggi
4) KUIH BUAH MELAKA / ONDE-ONDE
Kuih Buah Melaka atau onde-onde adalah salah satu kuih tradisional orang Melayu. Kuih ini bukan sahaja popular pada bulan Ramadhan malah turut sesuai dijadikan sebagai kuih minum petang.
Walaupun kuih ini mudah untuk dibuat namun jika anda tiada masa, anda boleh dapatkan di bazar Ramadhan.
Kuih Buah Melaka yang berwarna hijau disalut dengan kelapa parut dan di dalamnya yang terdapat gula Melaka antara salah satu kuih tradisional yang mudah dicari di bazar Ramadhan.
Jika anda ingin cuba sendiri buat resepi buah Melaka, sila klik perkongsian kami sebelum ini mengenai Resepi Buah Melaka
5) KUIH PULUT PANGGANG
Pulut Panggang merupakan pulut yang berintikan sambal kelapa dan ianya digulung dengan daun pisang. Kemudiannya dipanggang di atas bara api.
Gabungan rasa pulut dan sambal kelapa yang pedas-pedas manis sangat sedap yang tidak memuakkan. Ianya sangat sesuai dimakan ketika berbuka puasa sebelum anda makan makanan yang berat.
6) KUIH LOMPAT TIKAM
Kuih lompat tikam merupakan salah satu kuih yang popular di pantai timur iaitu di Pahang, Kelantan dan Terengganu. Kuih ini adalah gabungan pulut yang berwarna merah,lapisan putih yang bersantan dan lapisan hijau rasa pandan dan berkuahkan gula Melaka.
Rasanya yang lemak daripada santan dan manis daripada gula Melaka serta pulut membuatkan gabungan 4 jenis bahan ini sangat sesuai dan tidak megecewakan
7) ANEKA AGAR-AGAR
Agar-agar merupakan makanan pembuka selera ataupun pencuci mulut yang sangat mudah untuk berbuka puasa. Terdapat pelbagai jenis agar-agar yang dijual di bulan Ramadhan.
Antaranya agar-agar sirap, agara-agar coklat, agar-agar sarsi, agar-agar susu, agar-agar santan pandan, agar-agar laici, agar-agar buah-buahan ataupun agar-agar koktail. Walaupun mudah namun ianya sangat sedap dimakan terutamanya jika dimakan sejuk-sejuk.
Jika anda ingin cuba sendiri buat agar-agar sila klik perkongsian kami sebelum ini mengenai resepi agar-agar.
Kesimpulan
Walaupun zaman telah moden, namun kuih-muih yang dibeli bukan sahaja kuih-muih moden. Malah kuih-muih tradisional juga tidak ketinggalan dan sentiasa menjadi pilihan setiap kali ke bazar Ramadhan.
Jika anda ke bazar Ramadhan, jangan lupa untuk cari dan beli kuih-muih bulan puasa popular yang disenaraikan di atas.
Nota Kaki: Jangan lupa SHARE artikel kuih-muih ini dengan kawan-kawan anda. Semoga bermanfaat.
1 Comment
Sedap